UniSIRAJ dan Umma University Kenya Jalin Kerjasama Strategik Perkukuh Pendidikan Islam Global

NAIROBI, 27 Julai 2025 – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjalin kerjasama strategik dengan Umma University, Kenya, dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan Islam antarabangsa serta memperluas kolaborasi akademik dan pembangunan sumber manusia berteraskan nilai-nilai Islam.

Menurut kenyataan MAIPs, perbincangan rasmi berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, melibatkan delegasi tertinggi Umma University yang diketuai Canselor, Dr. Abbas Gullet, bersama tiga pegawai kanan universiti tersebut:

Naib Canselor, Dr. Halima Saado Abdillahi
TNC (Akademik, Penyelidikan dan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Ali Khamah
TNC (Perancangan, Pentadbiran dan Kewangan), Dr. Ali Abdullah
Berkenan menerima delegasi ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua MAIPs dan Canselor UniSIRAJ, diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam ucapannya, Dr. Abbas Gullet menjelaskan sejarah Umma University yang ditubuhkan pada 1997 oleh tokoh dakwah terkenal, Dr. Abdulrahman Al-Sumait menerusi Africa Muslim Agency (kini Direct Aid International). Umma University kini berstatus universiti penuh sejak 2019, dengan kampus utama di Kajiado dan cawangan di Thika, serta menawarkan program akademik dalam Syariah, Undang-undang, Pendidikan, Kejururawatan dan Perniagaan.

Antara bentuk kerjasama yang dicadangkan dalam sesi perbincangan termasuk:

Pertukaran pelajar dan pensyarah
Kerjasama penyelidikan bersama
Penganjuran persidangan antarabangsa
Penerbitan jurnal ilmiah berimpak
Sebagai komitmen awal, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) ke arah pelaksanaan kerjasama akademik ini.

Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh peranan MAIPs dan UniSIRAJ di pentas antarabangsa, khususnya dalam memacu pendidikan Islam kontemporari yang berteraskan nilai rahmah dan inklusif.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, TYT Ruzaimi Mohamad; Syarafina Adilah Ahmad Nasir, Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi; dan Omar Mohamed, Pengarah Educate International.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content