UniSIRAJ Perkukuh Budaya Penyelidikan Dalam Kalangan Staf Akademik – Raja Muda Perlis

UniSIRAJ Perkukuh Budaya Penyelidikan Dalam Kalangan Staf Akademik Raja Muda Perlis2

KANGAR, 8 Okt (Bernama) — Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan staf akademik menerusi peningkatan penglibatan pensyarah sebagai Penyelidik Utama (PI).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah budaya itu memperluas keupayaan universiti dalam menerajui projek penyelidikan dan perundingan pada peringkat dalaman, nasional serta antarabangsa.

Baginda bertitah pencapaian paling ketara direkodkan menerusi Geran Dana Universiti yang mencapai 121 peratus berbanding sasaran 23 peratus dengan penglibatan 32 PI.

“Pencapaian yang jauh melebihi sasaran ini mencerminkan keberkesanan usaha UniSIRAJ dalam membudayakan aktiviti penyelidikan melalui penyediaan peluang dan sokongan kepada staf akademik untuk memulakan serta memimpin projek penyelidikan.

“Penglibatan sebanyak 32 PI juga menunjukkan asas yang kukuh dalam pembentukan kumpulan penyelidik dan pemimpin penyelidikan yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat nasional dan antarabangsa,” titah Raja Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan di sekitar Kompleks Makam Imam al-Bukhari, Samarkand di Uzbekistan, menerusi kenyataan Istana Arau, hari ini.

Mengiringi baginda ialah Timbalan Gabenor Samarkand Bagi Hal Ehwal Awam dan Pertubuhan Keagamaan Karimov Bobir Boturovich, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor UniSIRAJ Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Dr Mushaddad Hasbullah.

Raja Muda Perlis bertitah perkembangan itu membuktikan bahawa penyelidikan semakin menjadi sebahagian daripada budaya akademik UniSIRAJ selain mencerminkan peningkatan keupayaan staf akademik dalam memanfaatkan peluang pembiayaan bagi menghasilkan penyelidikan yang bernilai dan memberikan impak.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah Geran Industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta mencatat pencapaian 104 peratus berbanding sasaran 13 peratus dengan penglibatan 16 PI.

Baginda bertitah pencapaian itu memperlihatkan keupayaan staf akademik UniSIRAJ membawa kepakaran penyelidikan ke luar lingkungan universiti melalui jaringan dan kerjasama bersama dengan pihak industri, NGO serta sektor swasta.

“Perkembangan ini turut mencerminkan peningkatan kepimpinan penyelidikan yang berorientasikan penyelesaian masalah dan aplikasi, selaras dengan usaha UniSIRAJ menghasilkan penyelidikan yang mempunyai nilai, manfaat dan impak kepada masyarakat serta pihak berkepentingan,” titah baginda.

Bagi Geran Penyelidikan Nasional pula, Raja Muda Perlis bertitah UniSIRAJ mencapai 17 peratus berbanding sasaran 16 peratus dengan penglibatan tiga PI yang menunjukkan staf akademik universiti itu mula berupaya bersaing mendapatkan pembiayaan penyelidikan pada peringkat nasional.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah Geran Penyelidikan Antarabangsa pula mencatat pencapaian 60 peratus berbanding sasaran 10 peratus dengan penglibatan empat PI.

“Pengukuhan jaringan dengan institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan luar negara, khususnya dalam bidang niche UniSIRAJ, berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada staf akademik untuk memimpin penyelidikan kolaboratif rentas negara serta meningkatkan keterlihatan kepakaran UniSIRAJ pada peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Dalam pada itu, Istana Arau memaklumkan kayuhan tersebut diaturkan khas oleh Pejabat Gabenor Samarkand sebagai aktiviti sampingan bagi membalas hospitaliti ketika kunjungan delegasi dari wilayah berkenaan ke Perlis sebelum ini yang diketuai oleh Timbalan Gabenor Bagi Urusan Delegasi Rasmi Kobilov Rustam Rajabboevich.

“Delegasi itu berpeluang merasai sendiri pengalaman berbasikal dalam program MAIPs Peduli dengan menziarahi dan menyantuni asnaf bersama-sama Tuanku Raja Muda Perlis di sekitar bandar Kangar,” menurut Istana Arau.

Raja Muda Perlis berada di Samarkand selama tiga hari bagi menyempurnakan perasmian Seminar Warisan Nabawi Peringkat Antarabangsa Kali Ke-10 (SWAN X) 2026 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Fakulti Pengajian Quran dan Sunah (FPQS) dengan kerjasama strategik UniSIRAJ yang dimiliki Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.