Usah sempitkan takrifan ASWJ elak perpecahan lebih parah – Raja Perlis

Usah sempitkan takrifan ASWJ elak perpecahan lebih parah – Raja Perlis2

Oleh: Sholina Osman
3 FEB.2026

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bertitah agar takrifan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang sedia ada di negara ini tidak disempitkan sehingga boleh mengundang perpecahan yang lebih parah dalam kalangan umat Islam.

Titah baginda, pendekatan yang terlalu eksklusif dalam mendefinisikan ASWJ dikhuatiri akan mengheret masyarakat ke arah isu sektarian yang mampu menimbulkan kebencian sesama umat sekaligus menggugat keharmonian serta keamanan ummah secara keseluruhannya.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli bin Hasan.

PERASMIAN PERLIS INTERNATIONAL

Mengiringi Baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), usai Majlis Perasmian Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 di Kangar.

Turut mengiring ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah; Mufti Negeri Perlis, Datuk Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pertemuan tersebut, Tuanku Raja Perlis menekankan kepentingan memperkukuh jaringan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi mengoptimumkan inisiatif sedia ada demi manfaat rakyat.

Baginda turut menzahirkan harapan agar gerak kerja penerangan berkaitan industri halal diperluaskan dengan lebih efektif kepada masyarakat.

INSTITUSI PENDIDIKAN AGAMA

Menyentuh mengenai pembangunan institusi pendidikan agama, Dr. Zulkifli menyembah maklum mengenai komitmen peruntukan kerajaan berjumlah RM200 juta bagi memperkasakan sektor tersebut.

Beliau turut dijadualkan melakukan beberapa siri lawatan kerja ke institusi pendidikan agama serta mengadakan kunjungan sepanjang berada di negeri ini.

Selain itu, sesi mengadap berkenaan turut membincangkan hala tuju pendidikan tahfiz di Perlis serta beberapa inisiatif strategik bagi memperkasakan lagi ekonomi negeri melalui pengurusan ekosistem halal yang lebih mampan.

Sesi tersebut juga menyentuh mengenai pelaksanaan instrumen perundangan Islam berkaitan keadilan sosial serta pelbagai isu semasa lain yang melibatkan kepentingan dan kebajikan umat Islam di peringkat negeri mahupun nasional. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.