Usaha Perkukuh Semangat Inklusif Terus Diperkasa — Raja Muda Perlis

rau, 4 Oktober 2025 – Usaha meningkatkan kesedaran dan memperkukuh semangat inklusif dalam kalangan warga emas, kanak-kanak serta golongan orang kurang upaya (OKU) perlu terus diperkasakan agar mereka sentiasa dihargai, disantuni dan diutamakan dalam arus pembangunan masyarakat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa melalui jalinan erat antara kerajaan, sektor swasta, badan masyarakat sivil dan seluruh rakyat, dapat dibentuk satu ekosistem inklusif yang menjamin kesejahteraan setiap lapisan ummah di negeri ini tanpa ada yang tersisih.

“Antara langkah yang wajar diberi perhatian termasuklah memperluas akses pendidikan, meningkatkan kualiti kesihatan, membuka peluang pekerjaan serta menyediakan prasarana awam yang selesa dan mesra pengguna,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Perlis 2025, yang berlangsung di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.

Majlis anjuran JKM Negeri Perlis itu diadakan bagi menghargai, meraikan dan menyantuni tiga kelompok penting masyarakat tersebut, selain meningkatkan kesedaran awam mengenai tanggungjawab bersama dalam menjaga kebajikan warga emas, melindungi kanak-kanak sebagai pewaris masa depan, serta mengiktiraf sumbangan dan potensi golongan OKU.

Penganjuran ini turut menjadi wadah memperkukuh semangat kasih sayang dan perpaduan masyarakat, selain menyokong dasar kerajaan dalam membangunkan program mesra komuniti yang lebih berkesan demi kesejahteraan bersama.

Pada majlis tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian sambutan serta menyampaikan pengurniaan Anugerah Khas Jasamu Dikenang, Anugerah Khas Kanak-Kanak Huffaz Muda dan Anugerah Khas Ibu Bapa OKU sebagai pengiktirafan kepada insan-insan yang menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.