Warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melahirkan rasa terharu apabila diperkenankan untuk mengiringi keberangkatan Raja Muda Perlis (RMPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menjejaki dan menyantuni golongan asnaf terpilih melalui program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli’ kali ke-43 untuk tahun 2020 pada petang semalam.
Program bersiri anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tersebut bermula dan berakhir di Denai Larian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Pengkalan Asam, Kangar.
Program kali ini disekalikan dengan kehadiran wakil APM Ibupejabat serta lapan buah Institusi Pengajian Tinggi dari beberapa buah negeri ke Perlis bagi menghadiri Majlis Pentauliahan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 Tahun 2020 yang akan diadakan di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada pagi ini.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra yang dijadualkan akan menyempurnakan pengurniaan watikah pentauliahan pada majlis hari ini disambut oleh Ketua Pesuruhjaya APM, KPj. (PA) Datuk Roslan Wahab dan Pengarah APM Negeri Perlis, Lt. Kol (PA) Ishak Mohd Radzi.
Kayuhan berkenaan turut disertai barisan kepimpinan utama APM antaranya Timbalan Ketua Pesuruhjayanya, TPj. (PA) Norhafifi Ismail dan Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan, PPj. (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025