24 September 2025, George Town. Pulau Pinang. Sektor hartanah Pulau Pinang mencatat sejarah baharu dengan pelancaran rasmi Westin Residences Pulau Pinang, bangunan kediaman setinggi 69 tingkat yang diiktiraf sebagai kediaman tertinggi di utara Malaysia, dibina dengan struktur kalis gempa bumi bagi menepati piawaian keselamatan moden.
Pelancaran disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di galeri jualan projek berkenaan di Persiaran Gurney. Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik Marriott International, Andree Susilo.
Dalam kenyataan media yang diedarkan sempena majlis itu, Pengarah Urusan Kumpulan Westin Residences Pulau Pinang, Datuk Yeoh Yih Sean, berkata projek berkenaan merupakan kesinambungan daripada kejayaan kerjasama terdahulu dengan Marriott International, termasuk Marriott Hotel dan Marriott Residences di Pulau Pinang.
Menurutnya, projek ini telah merekodkan kadar penghunian awal sebanyak 75 peratus sejak dilancarkan kepada pasaran.
“Sambutan yang menggalakkan ini merupakan bukti jelas kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman berjenama yang menawarkan gaya hidup berkualiti serta perkhidmatan daripada jenama yang diyakini,” katanya.
Tambahnya lagi, pembeli ditawarkan pelbagai pilihan unit daripada 1,033 kaki persegi hingga 3,670 kaki persegi, dengan harga bermula RM2,000 setiap kaki persegi.
Dengan pelancaran ini, Pulau Pinang dijangka terus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi utama kediaman mewah berjenama antarabangsa.
— Bernama