Krabi, Thailand 25 Jan – Ziarah Mahabbah MAIPs ke Enam Wilayah Andaman saban tahun merupakan simbol hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara masyarakat serumpun di rantau ini. Hubungan Perlis dan Wilayah Andaman diperkukuh oleh persamaan sejarah, budaya, bahasa dan yang paling utama, akidah Islam yang menjadi asas penyatuan di antara kita.
Dalam konteks dunia semasa yang sentiasa berubah pantas, perlu ditekankan kepentingan untuk kita mengambil peluang daripada kemajuan teknologi dan perkembangan global. Teknologi digital hari ini bukan lagi suatu pilihan, tetapi satu keperluan. Justeru, institusi agama juga perlu bergerak seiring dengan arus perubahan semasa dengan memanfaatkan teknologi termasuklah dalam sistem pengurusan, penyampaian perkhidmatan, pendidikan Islam dan juga dakwah.
Pendekatan yang lebih inovatif dan berdaya saing akan membantu institusi agama kekal relevan, diyakini, dan sentiasa dekat di hati masyarakat, khususnya golongan muda yang perlu disantuni sebaiknya.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Ao Nang, Krabi, Thailand, sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Krabi.
Kayuhan sejauh 12 kilometer itu bermula di Pejabat Pentadbiran Daerah Ao Nang, disertai oleh ketua-ketua jabatan pentadbiran tersebut. Turut hadir adalah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
Sepanjang kayuhan, Tuanku Raja Muda berkesempatan melawat Ban Na Teen, sebuah kampung pelancongan berasaskan komuniti yang menawarkan pengalaman autentik kehidupan masyarakat Selatan Thailand. Di sini, pengunjung dapat menyertai pelbagai aktiviti praktikal seperti melukis batik, memarut kelapa secara tradisional, membuat kuih tempatan, dan menghasilkan cenderahati daripada tempurung kelapa.
Baginda seterusnya mengunjungi Krabi Elephant Local Project, sebuah inisiatif komuniti yang menekankan interaksi gajah secara beretika, pendidikan, dan aktiviti lestari di kawasan hutan Krabi. Projek ini dijalankan oleh penduduk tempatan bagi tujuan memelihara gajah, mengurangkan sisa, dan menyokong komuniti sekeliling.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembahkan taklimat mengenai peraturan penjagaan gajah, menyaksikan persembahan gajah terlatih, dan tidak melepaskan peluang untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan tersebut.
Selain itu, Baginda turut menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih di Masjid Khlong Sai Khao.
Baginda bukan sahaja mengagihkan zakat, malah turut menyantuni dan beramah mesra dengan pemimpin agama serta masyarakat setempat sebelum kembali berbasikal ke Pejabat Pentadbiran Daerah Ao Nang, menamatkan kayuhan pada petang itu.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia