Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pendidikan tahfiz merupakan antara tunjang utama dalam membina generasi Al-Quran yang berkualiti di negeri Perlis pada masa hadapan.
Menurut Baginda, pendidikan tahfiz bukan sahaja melahirkan para huffaz yang mampu menghafaz Al-Quran dengan baik, bahkan berperanan membentuk peribadi Muslim yang berakhlak mulia, berdisiplin serta memiliki jati diri yang kukuh.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Penutup Festival Sukan dan Seni Islam Tahfiz (FIESTA) 2026 Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Warisan Kangar.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam titahnya, Baginda menzahirkan bahawa penganjuran FIESTA 2026 memberi ruang kepada para pelajar untuk mencungkil bakat serta mengasah kemahiran dalam pelbagai bidang berkaitan dunia tahfiz Al-Quran. Program seumpama ini turut menyemai nilai kerjasama, disiplin, kepimpinan serta daya saing yang sihat dalam kalangan peserta.
Penganjuran kali ini lebih istimewa dengan penglibatan pelajar-pelajar dari Majlis Agama Islam wilayah Andaman dan Phatthalung, Thailand, sekali gus memperkukuh elemen antarabangsa festival berkenaan.
Sehubungan itu, Baginda menyeru para peserta agar merebut peluang yang tersedia untuk membina hubungan ukhuwah antara negara, di samping bertukar pandangan dan pengalaman dalam memajukan bidang tahfiz Al-Quran.
Keberangkatan Baginda disambut oleh EXCO Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Izizam Ibrahim serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Festival Sukan dan Seni Islam Tahfiz 2026 (FIESTA 2026) anjuran JAIPs dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan menyemarakkan budaya tahfiz, sukan dan seni Islam di peringkat antarabangsa.
Festival ini melibatkan lebih 120 peserta daripada institusi maahad tahfiz di Perlis serta penyertaan antarabangsa dari Thailand buat julung kalinya.
Antara acara dipertandingkan termasuk Hafazan Al-Quran, Hafazan Hadis, Khutbah serta Memanah Tradisional.
Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah bagi kategori Hafazan Al-Quran Lelaki dan Memanah Tradisional Lelaki, selain melancarkan Pelaksanaan Sijil Tahfiz Negeri Perlis (STPs).
Sementara itu, pengurniaan hadiah bagi kategori Hafazan Al-Quran Perempuan dan Memanah Tradisional Perempuan telah disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.
MyHRMIS Mobile  App: Malaysian Government Mobile App Gallery