Zakat Cerminan Iman dan Tanggungjawab Sosial – Raja Muda Perlis

Zakat Cerminan Iman dan Tanggungjawab Sosial – Raja Muda Perlis

Sumbangan zakat bukan sekadar satu kewajipan, sebaliknya merupakan manifestasi keimanan, keprihatinan serta tanggungjawab sosial terhadap saudara seagama.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap ringgit yang disumbangkan mampu memberi sinar harapan kepada golongan asnaf, sekali gus meringankan beban kehidupan mereka serta membuka peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menurut Baginda, hasil zakat yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah dimanfaatkan secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk kebajikan, pendidikan, pembangunan insan serta pemerkasaan ekonomi ummah.

“MAIPs akan terus komited dan mengalu-alukan sumbang saran yang positif dan membina bagi menambah baik pengurusan dari semasa ke semasa, demi memastikan setiap amanah dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti serta berpandukan prinsip integriti, insya-Allah,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Apresiasi Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji Negeri Perlis Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Warisan Kangar.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut menyambut keberangkatan Baginda berdua ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis apresiasi berkenaan diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan kepada para pembayar zakat yang telah menunaikan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan melalui kaedah potongan gaji.

Pada tahun 2025, sebanyak 195 agensi melibatkan 5,393 penyumbang zakat telah melaksanakan pembayaran secara potongan gaji, dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada masa hadapan.

Menariknya, sajian makanan pada majlis tersebut turut disediakan oleh usahawan daripada Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sekali gus mencerminkan kejayaan program pemerkasaan ekonomi asnaf yang dilaksanakan oleh MAIPs.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.