Pre-GRI: Agrobank sumbang RM161,000 kepada SMK Kuala Perlis

Pre GRI Agrobank sumbang RM161,000 kepada SMK Kuala Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
30 APRIL 2026

Agrobank terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa pendidikan digital apabila menyalurkan sumbangan di bawah inisiatif Pre-Google for Education Reference Institution (Pre-GRI) bernilai RM161,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis.

Sumbangan berimpak tinggi ini merangkumi kemudahan infrastruktur digital, peranti pembelajaran, serta sokongan ekosistem pendidikan yang komprehensif, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada para pelajar untuk mengakses pembelajaran berasaskan teknologi, meningkatkan literasi digital dan membina kemahiran masa hadapan yang kritikal.

Sumbangan ini bukan sekadar menyediakan akses kepada peranti, malah membuka peluang kepada para pelajar untuk meneroka ilmu secara lebih interaktif, meningkatkan keupayaan digital serta memperkasa potensi diri agar lebih yakin bersaing dalam persekitaran pendidikan masa kini.

MENYAKSIKAN PENYERAHAN SUMBANGAN

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut sempena Majlis Perasmian Cawangan Agrobank Kuala Perlis di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden Merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil, Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Fairoshawal Idrus, dan Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan Agrobank.

Turut hadir, Hishamuddin Ab Hamid, Ketua Shariah Kumpulan Agrobank, Intan Syazwani Isa, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan Agrobank, serta Safaruddin Samsuddin, Pengarah Wilayah Agrobank Perlis, Pulau Pinang, dan Kedah.

AKTIVITI KAYU PERAHU

Sempena majlis tersebut, Baginda berdua turut berkenan mengetuai Aktiviti Kayuh Perahu Panjang Agrobank yang bermula dan berakhir di Jeti Kastam Kuala Perlis.

Program tersebut yang disekalikan dengan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melibatkan penyertaan lebih 100 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dan kesejahteraan komuniti.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih iaitu Saleha Ali, 82, dari Taman Bukit Kubu, Habsah Ahmad, 69, dari Kampung Tanah Baru, serta Rohani Isa, 56, dari Kampung Bukit Tok Po. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.