2Mei 2026.
Kuala Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa amalan gaya hidup sihat merupakan satu keperluan penting dalam kehidupan pelajar, selain menyeru golongan itu menjauhi rokok, dadah, vape serta amalan tidak sihat yang boleh menjejaskan kesejahteraan diri.
Baginda menegaskan bahawa kesihatan fizikal dan emosi yang baik akan membantu meningkatkan kecerdasan minda dalam proses pembelajaran, sekali gus menyokong pencapaian akademik yang lebih cemerlang.
Selain itu, Baginda turut menekankan peranan sekolah sebagai institusi yang bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah membentuk sahsiah pelajar melalui bimbingan guru serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan.
“Melalui pendekatan ini, pelajar dapat dibentuk menjadi individu yang berdisiplin, bertanggungjawab serta menghormati orang lain,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis baru-baru ini.
Berangkat sama, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh Pengetua sekolah, Norihan Kassim.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Johari Mohd Darus; serta Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan seramai 609 pelajar tingkatan satu hingga tiga, terdiri daripada 326 pelajar lelaki dan 283 pelajar perempuan.
Dalam ucapannya, pengetua sekolah memaklumkan bahawa SMK Kuala Perlis terus mencatat pencapaian membanggakan khususnya dalam pendigitalan pendidikan apabila dipilih sebagai sekolah rintis bagi program AI Powered Classroom dengan kerjasama Google Malaysia.
Seramai 41 guru turut memperoleh pengiktirafan sebagai Google Certified Educator, sekali gus mencerminkan tahap kompetensi digital yang tinggi dalam kalangan warga pendidik.
Usaha tersebut diperkukuh dengan sumbangan dana berjumlah RM161,000 daripada Agrobank bagi pelaksanaan program Pre-GRI, termasuk pembelian Chromebook untuk memperluas akses pembelajaran digital.
Dalam bidang akademik, sekolah itu mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 5.23 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, dengan peningkatan peratus lulus layak sijil daripada 90.15 peratus kepada 93.79 peratus, selain empat murid memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Kecemerlangan turut terserlah dalam bidang kokurikulum dan sukan, antaranya johan pertandingan antarabangsa di Thailand, naib johan keseluruhan Merentas Desa MSSPs 2026, serta johan hoki MSSPs bawah 18 tahun bagi kategori lelaki dan wanita.
Selain itu, pencapaian dalam bidang memanah, kulinari dan koakademik seperti NILAM turut mengangkat nama sekolah di peringkat lebih tinggi, manakala Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mencatat kejayaan termasuk tempat ketiga Malaysia IT Challenge peringkat kebangsaan.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Makmal Sains Sukan yang dilengkapi kemudahan gimnasium lapan stesen termasuk treadmill, basikal statik dan peralatan sokongan lain dengan peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Secara keseluruhannya, pencapaian tersebut mencerminkan kecemerlangan menyeluruh SMK Kuala Perlis dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah serta pendidikan khas, sekali gus mengharumkan nama sekolah di peringkat nasional dan antarabangsa.
MyHRMIS Mobile App: Malaysian Government Mobile App Gallery