KUALA LUMPUR, 22 Mei — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Program Promosi Masakan Perlis oleh Premiera Hotel Kuala Lumpur, sempena Program Perlis Showcase 2026.
Program itu berlangsung di Tingkat 24, Anjung Korporat MARA, Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur dari 20 hingga 22 Mei, dengan kerjasama MARA, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).
Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Pada program itu, tetamu berpeluang menikmati hidangan istimewa negeri Perlis, Kurma Daging Perlis, yang disediakan khas oleh Chef Eksekutif Premiera Hotel Kuala Lumpur, Chef Dzulkarnain @ Jol Salleh.
Selain itu, turut disajikan Laksa Kuala Perlis bersama Pulut Udang, Nasi Goreng ala Hai Thien Kuala Perlis, Gulai Rebung Perlis, Pekasam Goreng Tasoh, Pek Nga dan Pulut Kucai.
Menu autentik berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir.
Penganjuran program itu bertujuan memperkenalkan keunikan warisan masakan Perlis kepada masyarakat di ibu negara, khususnya Kurma Daging Perlis sebagai antara identiti kulinari negeri tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar program seumpama itu menjadi platform terbaik untuk memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri menerusi promosi produk makanan tradisional.
Baginda turut berharap inisiatif berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan mengetengahkan produk dan kepakaran masing-masing ke peringkat lebih tinggi.
Hadir sama Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Norwawi Ibrahim serta barisan pengurusan tertinggi MARA.
Program itu diyakini mampu menjadi pemangkin dalam memperkenalkan Perlis sebagai destinasi kaya dengan identiti, budaya dan produk berkualiti tinggi.
Selaras aspirasi Tahun Melawat Perlis 2024-2026, Perlis Showcase 2026 bukan sahaja menjadi medan promosi ekonomi dan pelancongan negeri, malah memperlihatkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa agenda pembangunan rakyat secara inklusif, kreatif dan berimpak tinggi.
MyHRMIS Mobile App: Malaysian Government Mobile App Gallery