Perlis Perlu Jadikan Saiz Kecil Sebagai Kelebihan Strategik – Raja Muda Perlis

Perlis Perlu Jadikan Saiz Kecil Sebagai Kelebihan Strategik – Raja Muda Perlis

ARAU, 22 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah segenap peringkat pentadbiran dan tenaga kerja di negeri itu perlu melipatgandakan usaha bagi mengubah persepsi bahawa faktor geografi serta keluasan fizikal Perlis yang kecil merupakan satu kekurangan.

Menurut baginda, saiz negeri yang kompak dan jumlah penduduk yang tidak terlalu besar sebenarnya menawarkan kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk mempercepatkan proses pembangunan, pelaksanaan dasar serta meningkatkan kecekapan tadbir urus.

Baginda bertitah, ciri-ciri tersebut membolehkan sebarang polisi baharu, pembaharuan dan keputusan penting dilaksanakan dengan lebih dinamik, pantas serta pada kos yang lebih rendah berbanding negeri-negeri lain yang mempunyai keluasan wilayah lebih besar.

“Perlis tidak seharusnya melihat saiznya yang kecil sebagai satu kelemahan, sebaliknya perlu menjadikannya sebagai kekuatan strategik yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan negeri,” titah baginda.

Baginda menzahirkan pandangan tersebut ketika berkenan menerima mengadap delegasi firma perunding antarabangsa Lavitra Strategia Pty Ltd yang diketuai Rakan Kongsi Urusannya, Ramesh Kana di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Pertemuan itu turut mencerminkan komitmen berterusan Raja Muda Perlis untuk memastikan negeri itu sentiasa bersedia merebut peluang kerjasama antarabangsa serta memperkukuhkan kedudukannya dalam landskap ekonomi dan pelaburan global.

Dalam sesi sama, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, Md. Silmi Abd. Rahman turut memberikan taklimat mengenai potensi ekonomi Perlis serta peluang pelaburan yang boleh diterokai oleh pelabur tempatan dan antarabangsa.

Titah Raja Muda Perlis itu selari dengan aspirasi negeri untuk memanfaatkan kelebihan skala kecil sebagai pemangkin kepada kecekapan pentadbiran, kemudahan pelaksanaan dasar dan daya saing pelaburan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Foto: Istana Arau.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.