KUALA LUMPUR, 26 Jun – Anakanda Puteri Sulung Raja Muda Perlis, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Pameran Pakaian dan Tekstil Malaysia Ke-3 (ATEX Malaysia 2026) yang berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Pameran anjuran Kaizer Exhibitions & Conferences itu menghimpunkan lebih 70 peserta pameran dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadi platform penting bagi memperluaskan rangkaian perniagaan, pertukaran teknologi dan kerjasama strategik dalam industri pakaian, tekstil serta fesyen.
ATEX Malaysia 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 28 Jun di Dewan 3, Aras 1, MITEC menampilkan pelbagai inovasi terkini termasuk jentera tekstil berteknologi tinggi, penyelesaian pembuatan mampan, teknologi percetakan pakaian tiga dimensi (3D) serta pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan rantaian bekalan industri tekstil dan pakaian.
Antara tarikan utama pameran ialah penyertaan pavilion antarabangsa melibatkan delegasi dari Bangladesh menerusi Bangladesh Knitwear Manufacturers and Exporters Association (BKMEA) serta Pasaran Borong Fesyen Liuhua dari Guangzhou, China. Penyertaan tersebut mencerminkan peranan ATEX Malaysia sebagai platform yang menghubungkan pasaran serantau dan global.
Selain pameran perdagangan, pengunjung turut berpeluang menyertai bengkel interaktif pembuatan Batik Malaysia yang diadakan setiap hari, sekali gus mempromosikan warisan tekstil tempatan kepada peserta industri dan pengunjung antarabangsa.
Penganjuran kali ini turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik bersama My Fashion Chamber Malaysia, Malaysian Institute of Art dan Universiti Teknologi MARA dalam usaha menyokong pembangunan bakat baharu serta memperkasakan ekosistem industri fesyen dan tekstil negara.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, S. Jai Shankar; Pengarah Urusan Kaizer Exhibitions & Conferences, Belle Yan; serta Pengurus Pembangunan Perniagaan Kaizer Exhibitions & Conferences, Andy Poh.
Edisi ketiga ATEX Malaysia menghimpunkan pengilang, pembekal dan inovator dari enam negara utama iaitu Malaysia, China, Bangladesh, India, Jepun dan Indonesia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara hab penting pembangunan dan perdagangan industri pakaian serta tekstil di rantau Asia.
MyHRMIS Mobile  App: Malaysian Government Mobile App Gallery