SERI KEMBANGAN, 27 Jun – Tuanku Tengku Fauziah diraikan dalam suasana penuh gemilang menerusi penganjuran program “Queen of the Night Broadway Musical Evening” yang berlangsung di Palace of the Golden Horses bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 baginda.
Majlis berprestij itu diserikan dengan keberangkatan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah, yang menjadi tetamu kehormat pada acara berkenaan.
Majlis tersebut dihoskan oleh Lee Kim Yew bersama isteri, Puan Sri Tan Bee Hong serta ahli keluarga mereka.
Turut berangkat ialah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta puteri-puteri diraja, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Bertempat di Grand Music Salon, para tetamu dihiburkan dengan persembahan muzikal bertaraf antarabangsa yang menampilkan elemen Broadway, sekali gus mewujudkan suasana eksklusif dan penuh berwarna-warni sempena sambutan istimewa tersebut.
Persembahan itu dipimpin oleh Pengarah Muzik Grand Music Salon Orchestra, Kok Kee Boon, yang mengetuai barisan pemuzik dan penghibur dalam menyampaikan rangkaian persembahan berkualiti tinggi kepada para hadirin.
Acara berkenaan bukan sahaja menjadi platform hiburan bertaraf dunia, malah turut mencerminkan penghargaan serta penghormatan kepada Raja Perempuan Perlis sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-80.
Foto: Istana Arau.
MyHRMIS Mobile App: Malaysian Government Mobile App Gallery