ARAU, 30 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa disiplin, komitmen dan daya tahan yang tinggi merupakan faktor penting dalam mengatasi pelbagai cabaran serta mencapai kejayaan.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Dato’ Sheikh Ahmad Kali Ke-49 Tahun 2026 di Arau, hari ini.
Dalam titahnya, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga sekolah atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila berjaya merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.90, selain melahirkan tujuh pelajar yang memperoleh keputusan semua A.
Menurut baginda, kejayaan itu amat signifikan kerana sebahagian calon peperiksaan berdepan cabaran banjir yang menjejaskan perjalanan mereka ke pusat peperiksaan.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” titah baginda.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Pengetua sekolah, Hajah Adilah Muhammad Noor serta barisan pengurusan sekolah.
Dalam ucapannya, Hajah Adilah berkata sekolah berkenaan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut mencatat pelbagai kejayaan membanggakan dalam kokurikulum sepanjang sesi 2026.
Antara pencapaian membanggakan ialah pelajar Tingkatan Empat, Nur Atrisha Azizan yang mewakili negara dalam acara Woodball berpasukan wanita di Sukan SEA Thailand dan berjaya meraih pingat gangsa.
Sekolah itu turut mencatat kejayaan sebagai Naib Johan berpasukan mewakili Perlis dalam Pertandingan Junior Cycling Malaysia di Velodrom Nasional, Nilai, selain meraih dua pingat emas dan satu pingat gangsa dalam Karnival Bakat Olimpik Kebangsaan bagi acara tenpin boling.
Dalam Kejohanan Akuatik MSSPs 2026 pula, pelajar sekolah berjaya mengumpul empat pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi pelbagai kategori bawah 18 tahun.
Kecemerlangan turut diteruskan dalam sukan memanah apabila seorang pelajar muncul Johan Keseluruhan Memanah MSSPs 2026 serta menyumbang pingat emas kepada Perlis dalam acara memanah berpasukan campuran bawah 18 tahun pada Kejohanan MSSM 2026.
Dalam bidang inovasi, pasukan sekolah membawa pulang satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa pada Pertandingan Inovasi Ekspo Reka Cipta (EREKA) Peringkat Kebangsaan 2026.
Sementara itu, pasukan bola keranjang remaja perempuan muncul juara peringkat negeri Perlis, manakala pasukan sofbol bawah 18 tahun turut menjuarai Kejohanan Sofbol MSSPs.
Pada majlis tersebut, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan pelbagai anugerah kecemerlangan akademik termasuk Anugerah Terbaik SPM 2025 bagi kategori 6A hingga Semua A.
Baginda turut menyampaikan Anugerah Khas Dato’ Wan Ahmad kepada Lai Young En, Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Amsyar Ailyasyaq Mohamed Azam dan Anugerah Citra Budi kepada Zaihaidah Hassan Raza.
Raja Puan Muda Perlis pula berkenan menyampaikan Anugerah Pencapaian Terbaik Dinamis, Anugerah Peningkatan Terbaik Mata Pelajaran SPM 2025, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Keterampilan serta Anugerah Sumbangan Agensi Luar kepada para penerima. – Suara Merdeka.
MyHRMIS Mobile App: Malaysian Government Mobile App Gallery