Institusi Keluarga Benteng Utama Perangi Dadah – KP AADK

Institusi Keluarga Benteng Utama Perangi Dadah – KP AADK

PADANG BESAR, 1 Julai – Usaha membanteras penyalahgunaan dadah bukan hanya terletak di bahu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk institusi keluarga, komuniti dan agensi kerajaan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, institusi keluarga merupakan benteng paling penting dalam membentuk masyarakat yang bebas daripada ancaman dadah sebelum peranan itu diperluaskan kepada komuniti dan pelbagai agensi berkaitan.

“Fokus AADK adalah memastikan setiap individu memainkan peranan masing-masing. Institusi keluarga merupakan benteng utama dalam membentuk masyarakat yang bebas daripada bahaya dadah, diikuti komuniti serta semua agensi kerajaan yang perlu berganding bahu membendung gejala ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan perkembangan usaha pencegahan dadah kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan Berinformasi sempena Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) anjuran AADK Negeri Perlis di sekitar Felda Mata Air di sini.

Turut berangkat ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir menyambut keberangkatan baginda ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias; Pengarah AADK Perlis, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan.

Ruslin turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Raja Muda Perlis yang sentiasa mengaspirasikan negeri bebas dadah serta memberi perhatian serius terhadap usaha pencegahan dan pemulihan berkaitan gejala berkenaan.

Menurut beliau, sokongan dan komitmen baginda menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk memperluaskan penyampaian mesej pencegahan dadah dalam kalangan masyarakat, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, program berkenaan turut menjadi platform strategik bagi memperkukuhkan kerjasama antara jabatan dan agensi, selain memastikan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah dapat disampaikan secara lebih meluas kepada penjawat awam dan masyarakat.

“Mesej yang diterima oleh para ketua jabatan diharap dapat diteruskan kepada seluruh pegawai dan kakitangan di agensi masing-masing supaya kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dapat diperluaskan ke setiap peringkat organisasi.

“Peserta yang terlibat dalam program kayuhan ini terdiri daripada individu yang mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam organisasi masing-masing. Mereka merupakan ejen penyampai yang amat signifikan dalam usaha pencegahan dadah apabila kembali ke jabatan dan komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau berharap Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dapat diteruskan sebagai platform berterusan untuk menyebarluaskan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat, di samping mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis kepada tiga asnaf terpilih.

Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Penerima bantuan ialah Mad Kasa Talib, 70, dari Felda Mata Air; Dan@Zain Salleh, 81, dari Kampung Sena Dalam, Jalan Padang Besar; dan Che Mah Ariffin, 70, dari Felda Mata Air. – SUARA MERDEKA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.