MAIPs perkasa bantuan Ibnu Sabil, lindungi rakyat Malaysia berdepan kecemasan di Australia

MAIPs perkasa bantuan Ibnu Sabil, lindungi rakyat Malaysia berdepan kecemasan di Australia

SYDNEY, 13 Ogos 2026 – Kehadiran lebih 12,000 pelajar Malaysia di Australia serta puluhan ribu rakyat kelahiran Malaysia di New South Wales meningkatkan keperluan terhadap jaringan sokongan lebih tersusun bagi membantu rakyat negara ini yang berdepan kecemasan atau kesulitan ketika berada di luar negara. BeritaPerlis

Sehingga Jun lalu, seramai 12,104 pelajar Malaysia direkodkan berada di Australia, manakala Banci Australian Bureau of Statistics (ABS) 2021 merekodkan 39,555 penduduk kelahiran Malaysia di New South Wales.

Pada masa sama, statistik Tourism Research Australia (TRA) bagi 2025 merekodkan seramai 213,680 pelawat Malaysia ke negara itu.

Sejajar dengan keperluan berkenaan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperluaskan peranan zakat merentasi sempadan menerusi inisiatif Ibnu Sabil sebagai jaringan keselamatan sosial bagi rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran ketika berada di luar negara.

Bantuan itu khususnya bagi membantu mereka yang terputus bekalan kewangan, berada dalam situasi kecemasan atau mengalami kesukaran untuk meneruskan perjalanan.

Menurut kenyataan MAIPs hari ini, perkara itu dipersembahkan oleh Atase Pendidikan Education Malaysia (EM) Australia yang juga Pemangku Ketua Pos Konsulat Malaysia di Sydney, Nabil Muzhaffar Amir Hamzah, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ia berlangsung selepas penyerahan simbolik sumbangan bantuan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 di perkarangan Quadrangle, The University of Sydney, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelajar Malaysia di Australia turut disaran bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik dan membina jaringan profesional, malah menjaga nama baik negara, memperkukuh semangat persaudaraan serta memanfaatkan pengalaman di perantauan untuk menyumbang kembali kepada tanah air.

Berangkat sama ialah anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir Konsul Muda (Pertanian), Pejabat Penasihat Pertanian Malaysia, Khairuddin Akmal Mohamad Kamal serta Pembantu Tadbir (Kewangan), Pejabat Education Malaysia Australia, Muhammad Razin Khaliq Hadi.

MAIPs berkata, inisiatif berterusan berkenaan mencerminkan komitmennya menjadikan zakat sebagai instrumen kebajikan yang dinamik dan mampu berfungsi melangkaui sempadan negara.

Usaha itu pada masa sama melengkapi peranan beberapa Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara yang menjadi barisan hadapan dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia di perantauan.

Foto: MAIPs

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.