Perlis sasar pelancong antarabangsa menerusi Rasa Malaysia di Bangkok

Perlis sasar pelancong antarabangsa menerusi Rasa Malaysia di Bangkok

SONGKHLA, 24 Ogos 2026: Perlis memperhebat promosi pelancongan di Thailand dengan menyertai festival julung kali Rasa Malaysia di Bangkok bulan depan, sekali gus mengetengahkan kekayaan alam semula jadi, warisan, budaya dan gastronomi negeri itu kepada pasaran antarabangsa.

Festival anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok itu dijadual berlangsung pada 19 dan 20 September di kawasan warisan Song Wat dengan Perlis bakal menampilkan produk pelancongan serta sajian tradisional yang menjadi identiti negeri berkenaan.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perlis, Mohammad Faidzul Awang Bakar berkata, penyertaan itu turut disemarakkan menerusi Unity Ride KL-Bangkok, iaitu acara kayuhan yang bermula dari Perlis pada 6 September sebelum dijadual tiba di Bangkok pada 16 September.

“Penyertaan Perlis dalam festival ini menjadi platform strategik untuk memperkenalkan keunikan negeri kepada pelancong Thailand dan antarabangsa, khususnya menerusi kekayaan alam semula jadi, seni budaya, warisan serta sajian tradisional yang menjadi identiti Perlis,” katanya.

Menurutnya, penyertaan berkenaan juga berpotensi memperkukuh kedudukan Perlis sebagai destinasi pelancongan di utara Malaysia, selain membuka peluang promosi dan jaringan kerjasama baharu dalam sektor pelancongan serta ekonomi kreatif.

Dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), reruai Perlis akan turut mengetengahkan produk keusahawanan berasaskan agro termasuk pelbagai produk Harumanis serta hasil tempatan berkualiti tinggi.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan memperluaskan pasaran produk usahawan Perlis ke peringkat antarabangsa, malah mampu memperkukuh hubungan pelancongan, kebudayaan dan perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand.

Delegasi negeri turut menggunakan platform berkenaan untuk memperkenalkan Perlis Geopark serta mempromosikan kalendar acara pelancongan negeri dalam usaha menarik lebih ramai pelancong Thailand dan antarabangsa berkunjung ke Perlis.

Maklumat mengenai penyertaan itu dipersembahkan Mohammad Faidzul kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Bundhaya Seafood, Songkhla yang disempurnakan Baginda.

Berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Saharuddin Sarwan.

Program itu dianjurkan pihak restoran dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) serta Restoran Shamiza Mohd Noor dari Jalan Guar Nangka, Perlis.

Dalam usaha memperluaskan pengenalan gastronomi Perlis di Thailand, Kurma Daging Perlis turut diketengahkan sebagai antara menu istimewa yang bakal disediakan di Bundhaya Seafood.

Hidangan menggunakan rempah ratus terpilih dan sentuhan autentik masakan Perlis itu memberi peluang kepada masyarakat Thailand serta pelancong antarabangsa menikmati cita rasa tradisional negeri berkenaan.

Bundhaya Seafood yang terletak di sepanjang pantai Songkhla dan terkenal dengan sajian makanan laut segar dilihat sebagai platform sesuai untuk memperkenalkan gastronomi Perlis kepada pasaran Thailand.

Promosi itu merupakan sebahagian usaha membawa identiti Perlis melangkaui sempadan menerusi gabungan pelancongan, gastronomi dan produk tempatan, sekali gus menarik pengunjung antarabangsa untuk merasai sendiri keunikan negeri paling utara di Semenanjung Malaysia.

Foto: YTSP Perlis

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.