Raja Muda Perlis Seru Sekolah Perluas Peluang Tingkat Kompetensi Digital Guru, Pelajar

Raja Muda Perlis Seru Sekolah Perluas Peluang Tingkat Kompetensi Digital Guru, Pelajar

TAMBUN TULANG, 2 Sept — Sekolah perlu membuka lebih banyak peluang kepada guru dan pelajar untuk meningkatkan kompetensi digital, memperluas akses kepada sumber pembelajaran berkualiti serta menguasai kemahiran abad ke-21 bagi menghadapi keperluan dunia pekerjaan masa hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkembangan teknologi yang semakin pesat menuntut institusi pendidikan menyediakan generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan supaya mereka mampu mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks.

Baginda bertitah, pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan antara pelaburan terbaik yang boleh dilakukan kerana manfaatnya bukan sahaja dinikmati pada masa kini, malah menentukan keupayaan generasi akan datang.

“Sesungguhnya, pelaburan terbaik yang boleh dilakukan ialah pelaburan dalam bidang pendidikan.
“Apa yang dilaksanakan pada hari ini bukan sekadar membina bilik darjah yang lebih moden, tetapi sedang membina generasi masa depan yang lebih berilmu, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Tambun Tulang baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif MAIPs yang menggabungkan aktiviti riadah dengan usaha menyantuni dan membantu golongan asnaf secara lebih dekat, selain memperkukuh hubungan antara institusi agama dengan masyarakat setempat.

Menerusi pendekatan itu, aktiviti berbasikal bukan sahaja menjadi medium menggalakkan gaya hidup sihat, malah digunakan sebagai platform mendekati masyarakat, mengenal pasti golongan memerlukan serta menyampaikan bantuan secara langsung.

Sempena program berkenaan, Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih.

Mereka ialah Hasnah Baharom, 63, dari Titi Pida Long Boh; Rahman Shaaban, 79, dari Kampung Che Ok; dan Hasnah Din, 68, dari kampung sama.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700 selain Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi membantu meringankan beban keperluan harian mereka.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIPs memastikan kebajikan golongan asnaf terus diberi perhatian, selain mendekatkan institusi agama dengan masyarakat menerusi pendekatan yang lebih inklusif dan prihatin.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.