PAUH PUTRA, 12 Sept — Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM546,250 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sekali gus memperkukuh usaha membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.
Penyerahan zakat itu berlangsung di Surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-20 Tahun 2026.
Cek cura zakat berkenaan dipersembahkan ke hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail oleh Pengerusi Lembaga MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Haji Azizi Mustafa.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua MAIPs.
Selain penyerahan zakat perniagaan MIDF, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian agihan sumbangan khas kepada wakil kontinjen Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) daripada 20 universiti awam di seluruh negara.
Sumbangan berkenaan mencerminkan usaha MAIPs memperluaskan manfaat agihan dan program kebajikan kepada pelbagai kelompok masyarakat, termasuk warga universiti serta anggota PALAPES.
Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zaliman Sauli serta barisan pegawai kanan MAIPs, MIDF dan universiti.
Keberangkatan Tuanku Syed Sirajuddin menyempurnakan kemuncak program berkenaan sebelum baginda bersama para jemaah menunaikan solat Jumaat.
Khutbah dan solat Jumaat pada hari berkenaan dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.