MEDAN, 13 Sept — Hubungan Perlis dan Medan terus diterjemahkan kepada kerjasama lebih konkrit apabila PT. Marnia Cosmetic dan Majlis Perbandaran Perlis menandatangani Surat Niat bagi meneroka potensi kerjasama, termasuk dalam bidang keusahawanan dan jaringan pasaran serantau. BacaPanduan Pelancongan
Penandatanganan itu berlangsung sempena pelancaran Marnia Connect for Charity pada Majlis Makan Malam Gala International Conference on Next-Generation Digital Technologies (NEXT-D) 2026 di Restoran Bumbu Nusantara, Kota Medan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.
Turut berangkat ialah anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Pengasas Marnia, Prof. Adjunct Dr. Marniati, S.E., M.Kes.; Dedi Zefrizal; Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin serta Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Sumatera Utara, Shahril Nizam Abdul Malek. JAKIM
Lebih menarik, kerjasama perniagaan yang diketengahkan tidak terhenti kepada usaha menembusi pasaran semata-mata, sebaliknya digabungkan dengan misi kebajikan menerusi konsep Marnia Connect for Charity.
Prof. Marniati berkata, 100 peratus keuntungan hasil jualan produk kosmetik Marnia akan disalurkan bagi membantu kanak-kanak yang menghidap kanser dan autisme.
Pendekatan itu menjadikan industri kecantikan sebagai platform keusahawanan sosial dengan keuntungan perniagaan dikembalikan kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.
Pelancaran di Medan turut membuka ruang lebih besar kepada Marnia untuk membawa konsep berkenaan ke wilayah lain di Indonesia dan seterusnya pasaran serantau.
Kehadiran ratusan delegasi antarabangsa sempena NEXT-D 2026 dimanfaatkan untuk memperkenalkan konsep tersebut kepada ahli akademik, penyelidik, pakar teknologi dan pemain industri dari pelbagai negara.
Marnia turut memperkenalkan koleksi gincu eksklusif dalam tiga varian iaitu matte, velvet dan glossy, manakala lapan lagi varian produk penjagaan diri baharu dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Pada masa sama, Perlis menggunakan platform antarabangsa itu untuk mengetengahkan identiti negeri menerusi Promosi Masakan Perlis, sekali gus memperkenalkan warisan kulinari negeri berkenaan kepada delegasi antarabangsa.
Dimensi kemanusiaan turut menjadi pengisian penting majlis apabila bantuan amal disampaikan kepada kanak-kanak Yayasan Autisme SLBC Musdalifah Medan.
Turut diadakan penyerahan Laporan Bantuan daripada Rakyat Perlis untuk Bantuan Bencana Aceh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), memperlihatkan hubungan Perlis dengan Sumatera turut diperkukuhkan melalui agenda kemanusiaan.
Majlis turut diserikan dengan Pertunjukan Fesyen MARNIA.
NEXT-D 2026 dianjurkan bersama Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Malaysia dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pakar teknologi serta pemain industri dari pelbagai negara. JAKIM
Penganjuran itu bukan sahaja menjadi medan perbincangan mengenai teknologi digital generasi akan datang, malah berkembang sebagai platform membina jaringan pendidikan, perniagaan, kebajikan dan hubungan rentas sempadan antara Perlis dan Sumatera Utara.