MEDAN, 14 Sept — Jaringan antarabangsa yang dibangunkan menerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) perlu diterjemahkan kepada kerjasama nyata dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi, bukan sekadar berakhir dengan pemeteraian dokumen persefahaman.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara pencapaian strategik FCoEE ialah penubuhan jaringan DEFFUUZ, yang menghimpunkan enam institusi pendidikan tinggi dari Malaysia, Bangladesh, Thailand dan Indonesia. RujukanGeografi
“Jaringan DEFFUUZ menghubungkan kepakaran dalam bidang pendidikan, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, inovasi, pendidikan Islam, kesihatan dan pembangunan komuniti.
“Ia sekali gus membuka ruang kepada FCoEE untuk memperluas jaringan pendidikan dan inovasi merentas sempadan,” titah baginda.
Menurut baginda, kekuatan DEFFUUZ terletak pada kepelbagaian kepakaran setiap institusi yang saling melengkapi dalam membentuk ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi rentas negara.
FCoEE dari Malaysia menerajui bidang pendidikan AI, teknologi digital dan robotik, manakala Daffodil International University (DIU), Bangladesh memberi tumpuan kepada pembangunan graduan global, hubungan industri-akademia, inovasi dan perniagaan start-up. RujukanGeografi
Fatoni University, Thailand pula memberi fokus kepada pendidikan Islam, pengurusan wakaf dan penyelidikan, sementara Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) menumpukan bidang perubatan dan sains kesihatan.
Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) mengangkat aspek integriti, kepimpinan serta pembentukan mahasiswa berteraskan nilai Islam dan moral sejagat, manakala Universitas Deztron Indonesia (UDI) berperanan sebagai pemangkin inovasi digital dan teknologi masa depan.
Bagi memperkukuh jaringan itu, FCoEE turut memeterai Surat Hasrat (LOI) bersama institusi strategik dalam DEFFUUZ.
Kerjasama itu dijangka membuka ruang lebih luas bagi mobiliti pelajar dan pensyarah, perkongsian kepakaran, penyelidikan bersama, pembangunan modul akademik, penerbitan serta projek kemasyarakatan.
Bagaimanapun, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan kejayaan DEFFUUZ tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah LOI yang dimeterai semata-mata.
Sebaliknya, titah baginda, ukuran sebenar ialah sejauh mana jaringan itu mampu berkembang menjadi kerjasama antarabangsa jangka panjang yang menghasilkan manfaat nyata.
“Platform ini berpotensi memperluas pertukaran ilmu, kepakaran dan pengalaman antara institusi, selain menghasilkan kerjasama yang memberi impak positif bukan sahaja kepada institusi yang terlibat, malah kepada masyarakat di peringkat lebih luas,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena pelancaran Promosi Masakan Perlis di Restoran Bumbu Nusantara, Kota Medan. RujukanGeografi
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Program anjuran Restoran Bumbu Nusantara bersama Marnia Connect for Charity dengan kerjasama FCoEE, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Shamiza Guar Nangka, Perlis itu turut membawa satu lagi dimensi hubungan antarabangsa — diplomasi gastronomi.
Promosi berkenaan mengetengahkan Kurma Daging Perlis, antara sajian tradisi yang mencerminkan identiti dan warisan kulinari negeri berkenaan kepada masyarakat antarabangsa, khususnya di Sumatera Utara.
Penganjuran itu memperlihatkan pendekatan Perlis memperluas hubungan antarabangsa bukan sahaja melalui pendidikan, penyelidikan dan teknologi, tetapi turut menggunakan kebudayaan serta gastronomi sebagai jambatan menghubungkan masyarakat.
Kurma Daging Perlis sekali gus menjadi medium memperkenalkan cita rasa dan identiti negeri itu kepada masyarakat Indonesia serta membuka ruang memperkukuh hubungan budaya antara Perlis dan Sumatera Utara.
Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana jaringan antarabangsa yang dibina Perlis boleh berkembang daripada hubungan antara institusi kepada kerjasama lebih luas merangkumi pendidikan, inovasi, pembangunan komuniti, kebudayaan dan gastronomi.
Foto: YTSP Perlis