Raja Muda Perlis, Fahmi santuni komuniti Seberang Ramai

Raja Muda Perlis, Fahmi santuni komuniti Seberang Ramai

KUALA PERLIS, 27 Sept — Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengadakan lawatan ke Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Seberang Ramai (CLBC) sempena program Kayuhan MAIPs Peduli di sini hari ini.

Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam kunjungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan meninjau aktiviti kelas tuisyen Bahasa Inggeris yang disertai pelajar daripada komuniti setempat.

Para pelajar turut mengikuti sesi pembelajaran dan ceramah mengenai usaha menjauhi buli, mengenal pasti maklumat palsu serta keselamatan siber.

Pengisian itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dan pelajar mengenai kepentingan melindungi diri ketika menggunakan kemudahan digital.

Ceramah berkaitan Keselamatan Pengguna dan Integriti Rangkaian Komunikasi Negara pula memberi penekanan terhadap penggunaan kemudahan komunikasi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Ia termasuk meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan dalam talian, kandungan berbahaya dan pelbagai bentuk ancaman siber yang semakin berkembang.

Kunjungan berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Program itu turut memberi peluang kepada peserta mendekati masyarakat setempat serta mengenali keunikan identiti dan warisan kawasan berkenaan.

Fahmi turut meluangkan masa menyusuri beberapa lokasi menarik termasuk Laman Congkak, Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Rumah Dodol dan Jambatan Tuanku Syed Putra.

Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima asnaf sempena Kayuhan MAIPs Peduli edisi ke-68 bagi 2026.

Mereka ialah Idrus Remli, 62, dari Taman Wai Permai; Salmiah Hamzah, 73, dari Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis dan Rusnani Khamis, 63, dari Kampung Wai.

Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif berterusan MAIPs untuk mendekati masyarakat secara langsung selain menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Program berkenaan turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memperkukuh pendekatan turun padang dan libat urus MAIPs bersama komuniti.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.