Raja Muda Perlis: Kejayaan pelajar bukan akademik semata-mata

Raja Muda Perlis Kejayaan pelajar bukan akademik semata mata

SIMPANG EMPAT, 28 Sept — Kecemerlangan akademik bukan satu-satunya ukuran kejayaan sebenar seseorang pelajar, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, kepimpinan dan keperibadian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, generasi muda khususnya anak-anak Perlis perlu dibentuk menjadi modal insan berilmu tinggi, berjiwa besar serta mempunyai daya saing yang kuat.

Baginda bertitah, dalam mengejar kemajuan dan kejayaan duniawi, golongan pelajar pada masa sama perlu terus berpegang teguh kepada nilai agama, budaya serta adat ketimuran bagi mengekalkan jati diri.

Justeru, baginda menyeru setiap pelajar supaya berusaha mengenali potensi diri, membina keyakinan serta sentiasa mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin pada masa hadapan.

Titah baginda itu turut menekankan kepentingan pembangunan generasi muda secara holistik dengan keseimbangan antara pencapaian akademik di dalam bilik darjah dan pembentukan sahsiah terpuji.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Datuk Jaafar Hassan Sungai Padang di sini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Program Hijrah Minda merupakan antara inisiatif MAIPs mendekati masyarakat menerusi pengisian kerohanian, perkongsian ilmu serta penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Program itu turut menjadi wadah memperkukuh hubungan MAIPs dengan masyarakat setempat selain meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam membina komuniti yang prihatin dan saling membantu.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs bersama Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs berjumlah RM73,500 kepada 105 penerima.

Daripada jumlah itu, 75 penerima merupakan anak kariah Padang Keria manakala 30 lagi anak kariah Sungai Padang.

Setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM700 bagi membantu meringankan keperluan kehidupan semasa.

Agihan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan MAIPs memastikan manfaat kutipan zakat disalurkan secara langsung kepada golongan asnaf yang layak.

Program berkenaan turut diserikan dengan pengisian keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.