Pendaftaran QS Rankings Langkah Strategik UniSIRAJ Perkukuh Reputasi

Pendaftaran QS Rankings Langkah Strategik UniSIRAJ Perkukuh Reputasi

KANGAR, 6 Okt (Bernama) — Langkah strategik Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) mendaftarkan institusi pengajian tinggi itu dalam sistem QS World University Rankings (QS Rankings) tahun ini bertujuan memperkukuh reputasi, daya saing dan kehadirannya pada peringkat antarabangsa.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah langkah itu menjadi penanda aras penting yang mencerminkan kesiapsiagaan UniSIRAJ untuk dinilai berdasarkan indikator prestasi universiti peringkat global.

“Pendaftaran dalam sistem QS Rankings ini menjadi permulaan penting kepada UniSIRAJ untuk membangunkan profil institusi, memperkemas pengurusan data serta mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan universiti berdasarkan penanda aras yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Langkah ini juga mencerminkan komitmen UniSIRAJ untuk terus meningkatkan kecemerlangan akademik, penyelidikan, kebolehpasaran graduan, pengantarabangsaan dan jaringan strategik dengan institusi pendidikan tinggi di luar negara,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan International Islamic Academy of Uzbekistan di Tashkent, Uzbekistan seperti dimaklumkan Istana Arau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail juga berangkat ke majlis itu.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Rafedah Abdul Aziz.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UniSIRAJ Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle manakala International Islamic Academy of Uzbekistan diwakili rektornya Kamilov Muzafar Mirotovich.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah penyertaan UniSIRAJ dalam ekosistem QS Rankings membuka peluang kepada institusi itu untuk memperkukuh budaya pengurusan berasaskan data serta meneliti prestasi berdasarkan indikator yang relevan.

“Peningkatan profil dan kehadiran UniSIRAJ pada peringkat antarabangsa juga berpotensi memperluas peluang universiti untuk menarik minat pelajar antarabangsa, tenaga akademik dan penyelidik selain membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi serta rakan antarabangsa,” titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah UniSIRAJ akan terus memperkukuh kesiapsiagaan institusi itu untuk mencapai penarafan QS Rankings yang lebih signifikan menerusi peningkatan kualiti akademik, penerbitan dan penyelidikan, jaringan penyelidikan antarabangsa, kebolehpasaran graduan serta mobiliti pelajar dan warga kerja.

“Usaha berkenaan turut merangkumi pengukuhan kolaborasi antarabangsa dan pengurusan data institusi yang lebih sistematik, berkualiti serta berintegriti,” titah baginda.

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content