PUSPANITA MPPs SALUR RM60,000 KEPADA RUMAH LAVENDER DAN DARUL MUHSININ

PUSPANITA MPPs SALUR RM60,000 KEPADA RUMAH LAVENDER DAN DARUL MUHSININ

KANGAR, 2 November 2026 – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM60,000 kepada Rumah Lavender dan Darul Muhsinin bagi membantu memenuhi keperluan serta menjaga kebajikan penghuni kedua-dua institusi berkenaan.

Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan dana menerusi Majlis Makan Malam Amal Sinaran Cahaya “Mataku Sentuhanmu” yang berlangsung di Elissa Garden Hall, Kangar.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi PUSPANITA MPPs, Dr. Hajah Norhudi’in Danu dan Yang Dipertua MPPs, Haji Affendi Rajini Kanth.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Membantu Orang Kurang Upaya Malaysia (PMOKUM), Datuk Haji Silatul Rahim Dahman; serta Pengarah Urusan Ady Construction Sdn. Bhd. (ACSB), Datuk Liaqat Ali.

Majlis anjuran PUSPANITA Cawangan Kecil MPPs dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Ady Construction Sdn. Bhd. selaku penaja utama, serta MPPs sebagai rakan sinergi itu menghimpunkan golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya individu yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan dari Rumah Lavender, selain anak-anak asnaf dari Darul Muhsinin.

Penganjuran program berkenaan bukan sekadar bertujuan mengumpul dana kebajikan, malah menjadi platform untuk menyemarakkan semangat kebersamaan, menyantuni golongan memerlukan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan nilai keprihatinan, empati dan sokongan kepada komuniti OKU.

Selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pelbagai lapisan masyarakat, majlis itu turut memberi peluang kepada golongan istimewa dan anak-anak asnaf untuk menikmati suasana penuh kemesraan, sekali gus merasai keprihatinan serta sokongan masyarakat terhadap mereka.

Dalam usaha menjayakan inisiatif berkenaan, PUSPANITA Cawangan Kecil MPPs bertindak sebagai fasilitator dalam mengumpulkan sumbangan daripada pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan sebagai manifestasi semangat kebersamaan dalam membina sebuah keluarga besar Perlis yang sejahtera.

Penyaluran sumbangan berjumlah RM60,000 itu mencerminkan komitmen berterusan PUSPANITA dan rakan strategiknya dalam memperkukuh agenda kebajikan masyarakat, khususnya memastikan golongan OKU serta individu yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan terus mendapat perhatian, pembelaan dan sokongan sewajarnya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content