News Centre
News Centre
News Filter
Latest News
KANGAR : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agar masjid di seluruh negeri ini dijadikan sebagai pusat sokongan kecemerlangan pendidikan.
Titah baginda, sebagai pusat komuniti yang dekat dengan masyarakat, masjid boleh berperanan dalam menjayakan hasrat community based learning dalam kalangan pelajar sekolah.
“Dengan mengupayakan masjid, ia akan dapat mengurangkan jurang antara pelajar yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan jaringan internet yang meluas dalam pengajaran dan pembelajaran dari rumah.
“Saya yakin, jika usaha ini dilaksanakan, akses kepada pendidikan dapat dipertingkatkan dan dapat mengoptimumkan peluang mengikuti pendidikan meskipun tidak dapat hadir ke sekolah.
“Perkara ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” titah baginda selepas berkenan meninjau kerja-kerja pembinaan Masjid Al-Munir Batu 5, Kuala Perlis hari ini.
Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakandanya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Exco kerajaan negeri, Hamizan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Ketika ini, kira-kira 60 peratus pelajar di Perlis mempunyai kemudahan jaringan atau capaian internet manakala selebihnya tidak berupaya meneruskan proses pembelajaran dengan sempurna melalui dalam talian.-UTUSAN ONLINE
- 2020/11/16 7:45 AM
- Utusan Online
KANGAR: Para pelajar perlu menguasai dan melengkapkan diri dengan kemahiran komunikasi dan penguasaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam berdepan cabaran global berikutan pandemik Covid-19.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, golongan mahasiswa perlu bersungguh-sungguh mempersiapkan diri bagi menghadapi segala cabaran pasca Covid-19 selepas ini.
“Usaha melengkapkan diri dengan kemahiran yang tinggi termasuk ICT disamping penguasaan sepenuhnya ilmu yang dipelajari harus diberikan keutamaan agar mampu menjadi pelajar yang boleh diterima di alam pekerjaan sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, negara dan masyarakat,” titah baginda.
Terdahulu, baginda berkenan menyempurnakan majlis bantuan institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara kepada para pelajar Perlis yang akan melanjutkan pelajaran ke Jordan pada penghujung November ini anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kompleks Islam Perlis di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.
Tambah baginda, penyesuaian diri dengan suasana baharu yang lebih mementingkan penggunaan internet perlu diberikan penekanan dalam dunia digital.
“Dalam dunia digital tanpa sempadan seharusnya diberikan penekanan oleh setiap mahasiswa, tidak kira dalam apa jua bidang pengajian. Penggabungan ini akan menjadikan seseorang mahasiswa itu lebih terkehadapan dalam mendepani segala cabaran pasca penularan Covid-19,” titah baginda.-UTUSAN ONLINE
- 2020/11/16 7:43 AM
- Utusan Online
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar golongan mahasiswa di negeri ini bersungguh-sungguh dalam mempersiapkan diri masing-masing bagi menghadapi segala cabaran pasca-penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Usaha melengkapkan diri dengan kemahiran yang tinggi di samping penguasaan sepenuhnya ilmu yang dipelajari harus diberikan keutamaan agar mampu menjadi pelajar yang boleh diterima di alam pekerjaan sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, negara dan masyarakat.
- 2020/11/16 7:40 AM
- Bernama
KANGAR, 10 Nov — Sejajar dengan perkembangan pesat dunia digital, Perlis perlu mengorak langkah ke arah pendigitalan dengan lebih komprehensif dalam pelbagai aspek, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah antara aspek utama perlu diberi perhatian adalah sistem penyampaian perkhidmatan awam, kehidupan komuniti, dan perniagaan, termasuk industri pelancongan.
“Tanpa disedari, kita sudah melangkah ke era digital dan kerajaan memang sentiasa bersedia untuk memudahcarakan urusan rakyat dan negara. Rakyat dan komuniti perniagaan juga sudah mula celik keperluan digitalisasi dalam kehidupan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di majlis perasmian Pelan Digital Perlis 2021-2025 dan Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Perlis pada Konvensyen Perkhidmatan Awam Negeri Perlis 2020 di sini hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah Pelan Digital Perlis 2021- 2025 bertujuan untuk meletakkan asas yang kukuh dalam memacu dan melonjak ke arah Perlis Negeri Bandaraya yang pintar menjelang tahun 2030.
“Inisiatif model baharu Perlis Negeri Digital merupakan langkah strategik membuat transformasi Perlis sebagai Negeri Pintar serta memantapkan sistem pengurusan dan pentadbiran Perlis bagi mencapai wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030,” titah baginda.
— BERNAMA
- 2020/11/11 8:38 AM
- Bernama
Kebersihan itu bermula dari rumah dan masyarakat perlu membimbing anak-anak bahkan keluarga untuk tidak membuang sampah sesuka hati, menerapkan amalan hijau yang bukan sahaja mengurangkan pencemaran malah mengurangkan kos seperti menjimatkan penggunaan tenaga secara optima dan pembaziran sumber air.
- 2020/11/11 8:36 AM
- Bernama
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bercerita kisah DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menceritakan pengalaman-pengalaman menarik semasa menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke 12 (Dec 2001- Dec 2006).
Melalui hantaran ke Facebook, beliau yang lebih dikenali panggilan Dr. Maza berkata, salah satu kisah yang sering baginda ulang -mungkin dekat di hati baginda – ialah ketika baginda diminta oleh Pihak Kerajaan ketika itu untuk melakukan upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sebagai satu penghormatan kepada tugu dan para pahlawan negara.
Baginda menjawab kepada pihak yang meminta: “Untuk Angkatan Tentera saya akan melakukan apa sahaja. Namun, meletakkan kalungan bunga di tugu, itu tidak dapat saya lakukan. Itu mempunyai unsur syirik”.
Memandangkan baginda tidak berkenan melakukan hal tersebut, Pihak Kerajaan ketika itu menghantar salah seorang anggota kabinet untuk memujuk DYMM Tuanku.
Baginda menjawab kepada menteri berkenaan: “Apakah bezanya perbuatan tersebut dengan perbuatan meletakkan bunga (memuliakan) di pongsu (maksudnya di tunggul batu atau patung)? Itu mempunyai unsur syirik.
“Kalau kerana hendak menjadi Yang Di-Pertuan Agong saya terpaksa melakukan hal itu, saya sanggup segera balik ke Perlis.
“Saya tidak sanggup masuk neraka kerana syirik hanya disebabkan perkara ini”.
Akhirnya, Pihak Kerajaan ketika itu bersetuju bahawa DYMM Yang Di-Pertuan Agong tidak perlu melakukan upacara tersebut. Semoga ALLAH mengganjari DYMM Raja Perlis atas pendirian tegas baginda dalam hal tersebut, kata Dr. Maza.
- 2020/11/09 2:02 PM
- Bernama