News Centre
News Centre
News Filter
Latest News
Kilang Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd yang beroperasi di Jejawi Industrial Zone dekat Kangar kini mempunyai seramai 2,309 pekerja yang terdiri daripada pelbagai kerakyatan, yang mana lebih daripada 80% daripadanya adalah rakyat tempatan dan kebanyakannya berasal dari negeri Perlis.
Ia juga mempunyai seramai 13 orang Pegawai Dagang Jepun yang membantu dalam pentadbiran harian syarikat berkenaan.
Shorubber di Perlis adalah kilang pertama Showa Glove Jepun yang terletak di luar negara ‘Matahari Terbit’ berkenaan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1989 lagi. Ia menawarkan pelbagai jenis produk yang terdiri daripada Polyvinyl Chloride, Natural Rubber, Nitrile Butyl Rubber dan Polyurethane dan dieksport sepenuhnya ke pasaran di seluruh dunia termasuklah Eropah, Amerika Syarikat dan Asia, khususnya Jepun.
Bangunan-bangunan pengeluarannya terletak dalam kawasan seluas 49 ekar. Ia juga telah berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran dari masa ke semasa dan yang terkini dalam proses mewujudkan ‘line produk’ sarung tangan Polyurethane yang ke-10.
Demikian dikongsikan oleh Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd., Imran Ibrahim ketika menyambut keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke kilang berkenaan pada petang semalam.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersempena ‘Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas Di Dalam Akhbar Tempatan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke- 77 DYMM Tuanku Raja Perlis, Tahun 2020’.
Imran yang merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat berkenaan telah bersama-sama Shorubber sejak dari penubuhannya sehingga ke hari ini menambah bahawa sesungguhnya usaha Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis mengangkat martabat bangsa ke persada dunia sangatlah pengurusan serta warga Shorubber sekalian sanjung tinggi.
Baginda berdua mengambil peluang mencuba mesin ‘Shrink Packing’ yang khusus untuk proses pembungkusan produk yang dijual melalui medium “vending machine”untuk pasaran Amerika Syarikat dan Eropah sempena kunjungan pada kali ini.
Tambah Imran, pihak Ibu Pejabat Shorubber iaitu Showa Glove Japan serta bahagian jualan di sana bertungkus-lumus dalam usaha mempromosikan dan menceburi pasaran-pasaran baru di dunia bagi memastikan Shorubber akan terus kekal maju, seterusnya dapat menjadi pemacu dalam meningkatkan kemajuan ekonomi Negeri Perlis.
Sempena keberangkatan baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra bersama para kakitangan Unit Pentadbiran syarikat itu. Tuanku Raja Muda turut berkenan menandatangani plaka sempena pertukaran logo Shorubber lama ke logo Shorubber baru di tapak Menara Jam Shorubber yang ditempatkan di pintu masuk utamanya sebelum berangkat meninggalkan majlis.
- 2020/10/08 9:01 AM
- Bernama
KANGAR : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melaksanakan penyelarasan agihan bantuan kepada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang berkemungkinan terkandas ekoran penangguhan pendaftaran semula kemasukan ke kampus masing-masing, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, langkah tersebut bagi membantu mereka yang terkesan dan terkandas di Perlis dengan melibatkan kerjasama pengurusan penuntut di IPT seluruh negeri ini.
“Setakat ini, kita belum menerima aduan terdapat penuntut terkandas di negeri ini, sekiranya ada kita akan bantu,” katanya selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima persembahan sumbangan zakat perniagaan oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Rural Capital Berhad di Kuala Perlis di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Mahadir Ibrahim mempersembahkan replika cek zakat perniagaan bernilai RM 95,879 itu kepada Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs.
Untuk rekod, Rural Capital Berhad adalah sebuah anak syarikat Mara yang dikorporatkan pada 2 Julai 2013 bagi menjalankan aktiviti pembiayaan dan pengurusan hutang.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin mengingatkan seluruh rakyat supaya terus melipatgandakan usaha dalam membudayakan norma baharu yang merupakan tugas dan tanggungjawab semua masyarakat bagi membendung penularan Covid-19.
“Norma baharu itu adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa berwaspada serta mengamalkan amalan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan amaran daripadaKementerian Kesihatan yang lebih berkonsep peringatan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE
- 2020/10/08 8:59 AM
- Utusan Online
Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 32/2020 anjuran Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dijadualkan pada 6 hingga 8 November 2020 di negeri Perlis akan sekali lagi ditunda ke satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.
Pada asalnya persidangan tersebut dirancang pelaksanaannya pada 3 hingga 5 Julai 2020 yang lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan buat kali yang keduanya disebabkan situasi semasa di dalam negara kini yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang akan menjadi tuanrumah persidangan tahunan tersebut pada kali ini.
Baginda mengesahkan pengumuman tersebut dibuat sejurus selepas berunding dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melalui telefon pada petang semalam.
Beberapa hari yang lalu Tuanku Syed Faizuddin Putra telah berkenan menerima sembah mengadap oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah bagi memperhalusi segala persiapan akhir persidangan tersebut yang diadakan di Bilik Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.
Turut hadir ialah Pengarah Rancang & Pembangunan – Bahagian Pasukan Simpanan TDM, Kolonel Hj Hashim Hj Osman dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan bahawa pihak rejimen berkenaan amat mengalu-alukan keberangkatan serta kehadiran semua Komander-komander rejimen siri 500 dari seluruh negara ke Perlis kelak. Tambah baginda, walaupun sekali lagi ditunda, namun begitu segala persiapan oleh pasukan penganjur dan juga agensi-agensi lain yang membantunya akan tetap terus diperkemaskinikan dari masa ke semasa sebagai persediaan awal sementara menunggu tarikh baru yang bakal diputuskan nanti.
Bersempena kunjungan Hasagaya tersebut juga, baginda turut berkenan meninjau ke Dewan Senat dan juga Auditorium Bangunan Canselori UniMAP serta segala kemudahan berkaitan lain yang bakal menjadi venue utama persidangan.
Untuk rekod, kali terakhir negeri Perlis menjadi hos persidangan ini ialah pada 28 September 2002 ketika Tuanku Syed Faizuddin Putra baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Tuanku Komander rejimen berkenaan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Tahun lalu negeri Melaka telah menjadi tuanrumah persidangan itu dengan jayanya.
- 2020/10/08 8:58 AM
- Utusan Online
Kerajaan Negeri dan pihak swasta hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan akrab dan kerjasama yang baik ibarat pepatah “Bagai Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Dituruni” dalam usaha memajukan lagi negeri Perlis tercinta ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Apresiasi Sisipan Akhbar Khas Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-77 DYMM Tuanku Raja Perlis, Tahun 2020’ yang diadakan di Bilik Latihan Baharu, Tingkat 1, Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd, Jejawi Industrial Zone, Kangar pada petang tadi.
Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd., Imran Ibrahim.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof serta para penaja inisiatif berkenaan.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, teknologi digital amat perlu dalam kehidupan seharian terutamanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Semasa krisis Covid-19, penggunaan teknologi digital dalam urusan seharian meningkat secara mendadak dan penggunaannya menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan sumber pendapatan rakyat.
Pada masa yang sama, usaha bagi menyahut saranan Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan ‘Pelan Digital Perlis 2021-2025’ yang mengambil kira pandangan Agensi Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), komuniti dan swasta adalah amat bertepatan sekali. Ini bagi mewujudkan Kerajaan Digital melalui transformasi pentadbiran secara berperingkat melalui proses ‘restart’, ‘revitalise’ dan ‘reform’. Justeru, semua pihak mestilah ‘bersedia’ menerima perubahan ini selain memberi sokongan padu kepada usaha ini.
Jabatan dan Agensi Negeri juga perlu menjadi peneraju dalam memperkenal dan membudayakan platfom digital ini. Contohnya, sistem diperkemas di bawah satu platform yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan digital yang memendekkan tempoh masa, mengurangkan birokrasi serta meningkatkan produktiviti.
Untuk rekod, seperti pada tahun-tahun lalu, majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargan khas bagi meraikan para penaja yang telah banyak membantu dan menjayakan Sisipan Akhbar Khas ini.
Acara-acara sambutan rasmi sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajudduin Jamalullail Ke-77 yang dijadualkan pada 17 haribulan Julai yang lalu terpaksa dibatalkan berikutan penularan COVID-19 yang memberi kesan di seluruh dunia.
Sisipan akhbar ini bukan hanya bagi meraikan 20 tahun pemerintahan baginda, malah turut mengarapkan nilai sentimental dan estetiknya tersendiri untuk dikongsi sebagai tatapan seluruh rakyat di negeri ini.
Karya tahun ini juga mencoretkan kenangan sepanjang tahun 2000 sehingga 2020 yakni ‘Dua Dekad Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Pemerintah Negeri Perlis dan Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid sebagai Raja Perempuan Perlis’ serta ‘Dua Dasawarsa Permasyhuran Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Raja Muda Perlis dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebagai Raja Puan Muda Perlis’ di samping pelbagai acara serta bingkisan kata-kata curahan rasa para penaja sebagai kenangan di masa hadapan.
Ia juga diharap dapat menyemai sifat kasih sayang rakyat kepada Raja, bahkan meninggalkan nostalgia kepada semua. Potensi pembangunan negeri dan program utama berkaitan Perlis turut dimuatkan.
- 2020/10/08 8:54 AM
- Bernama
Program ‘Jom Woodball @ Putrajaya’ yang dilangsungkan di pekarangan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajayabaru-baru ini mendapat sambutan dan juga respons memberangsangkan di kalangan warga Putrajaya yang berkesempatan meluangkan masa hadir.
Program separuh hari yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada acara sampingan sempena aktiviti ‘Kayuhan Jelajah Jiwa Bangsa’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut dianjurkan oleh Kelab Woodball Prang Besar (KWPB) yang dianggotai oleh 100% penjawat awam yang bertugas di Putrajaya.
Lebih daripada 150 orang ketua-ketua agensi Persekutuan dan juga dari negeri Perlis serta sektor swasta yang hadir diberikan penerangan ringkas mengenai sejarah kewujudan woodball, teknik asas dan peraturan permainan serta berpeluang mencuba sukan yang berasal dari negara Taiwan itu.
Antara yang tidak melepaskan peluang mencuba termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Zamri Mat Zain.
Tidak ketinggalan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Datuk Sri Zulkifli Abdullah dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin.
Turut serta ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad.
Tambah istimewa ialah keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis. Menurut Presiden Kelab Woodball Prang Besar (KWPB), Asrul Nizwan Mohamad, KWPB ditubuhkan bagi menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda Perlis beberapa tahun yang lalu bagi sama-sama membantu memartabatkan serta mempromosikan lagi sukan woodball di seluruh negara ini.
Sebagai “trademark” KWPB, satu pertandingan ‘Gate In One Woodball Challenge’ turut diadakan sebagai acara kemuncak kepada program tersebut di mana RM1,705.43 ditawarkan kepada pemenang. Jumlah hadiah berkenaan mengambil sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 17 Mei 1943.
Untuk rekod, Kejohanan Woodball Piala Dunia Kesembilan (WCWC Perlis 2020) yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra, Perlis dari 24 hingga 30 Julai 2020 ditangguhkan ke tarikh yang sama pada tahun hadapan susulan pandemik COVID-19.
- 2020/10/06 8:59 AM
- Bernama
Perlis dianugerahkan dengan bentuk muka bumi yang begitu indah. Oleh yang demikian, seluruh warganya harus memastikan serta berbangga kerana Perlis sering kali menjadi ‘buah mulut’ dan mendapat pujian oleh warganet di laman sosial dengan keindahan alam semula jadinya dan pemandangan yang sungguh menawan.
Masyarakat juga perlu memastikan keunikan ini dipelihara sebaiknya bagi menjadikan Perlis sebagai lokasi ekopelancongan semula jadi pilihan utama pengunjung dari dalam dan luar negara.
Khazanah alam ini juga perlu dikekalkan supaya dapat terus dinikmati dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penutupan Eksplorasi Menyelamat Dalam Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis, Tahun 2020’ yang diadakan di Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan Gua Kelam, Kaki Bukit pada petang tadi.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shafie Awang Ahmad dan Ahli Kehormat Pertubuhan Nadi Sihat, Datuk Sri Hj Ahmad Sukimi Ibrahim.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengajak semua supaya mengetahui, menghargai dan memahami bahawa pembentukan formasi-formasi gua seperti Stalaktit, Stalagmit, Gour Pool dan Tirai Gua ini mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk.
Untuk rekod, Gua Kelam di Kaki Bukit Perlis terbentuk daripada batu kapur formasi setul. Terdapat jaluran gua batu kapur tertua di Malaysia berusia antara 416 hingga 508 juta tahun, struktur tirai gua serta mini empangan traveltine dengan mineral kasiterit yang merupakan Geotapak Perlombongan di Aspiring Perlis Geopark.
Keunikan Gua Kelam ini ditambah lagi dengan sejarah perlombongan bijih timah terbesar dalam dasar bukit iaitu sekitar tahun 1930an kini menjadi tarikan baru khususnya bagi pengemar aktiviti lasak kerana laluan yang ditempuhi sangat unik dan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita secara bersama untuk memastikan ianya terus terpelihara dengan sebaik mungkin.
Di akhir program baginda berdua berkenan meluangkan masa memasuki Gua Kelam 2 dari Secret Garden dan berakhir di Bangunan Galeri 3D Gua Kelam.
- 2020/10/06 8:57 AM
- Bernama