Pusat Berita

Pusat Berita

Tapisan Berita

Paling Terkini

Masa yang paling efektif dalam membentuk jati diri dan menggilap potensi kendiri seseorang dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat dan watan adalah ketika usia muda belia. Anak muda harus terus berkarya, mencetus idea dan pandangan ke arah masa depan negeri dan negara yang lebih gemilang. Pada masa yang sama, dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang, ditambah perubahan persekitaran ekonomi dan sosial pasca penularan Covid-19, golongan belia harus memanfaatkan teknologi untuk mencari ruang dan peluang untuk terus berbakti. Di samping kesibukan dalam mempersiapkan diri, golongan muda juga harus bergerak bergandingan tangan dan bahu, merancang dan mencorak ke arah membina bangsa yang berperadaban. Demikian ucapan Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, anakanda sulung kepada Tuanku Raja Muda Perlis ketika merasmikan ‘Program Perlis Youth Takeover Tahun 2020’ yang diadakan di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar. Ketibaan Puteri Sharifah Khatreena ke program bagi menjayakan agenda pemerkasaan warga belia dan anak muda di negeri Perlis yang dianjurkan secara bersama oleh Impact Malaysia, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis serta PVAC itu disambut oleh Pengerusi Perlis Volunteer Action Community (PVAC), Effendey Harun. Turut hadir ke ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohamad Hazam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor. Menurut Puteri Sharifah Khatreena lagi, dengan asas dan perancangan kemajuan yang sedang dirancang di negeri Perlis, melalui beberapa projek kemajuan berimpak tinggi seperti pewujudan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), pembinaan Perlabuhan Darat Perlis, pembinaan Jeti Bersepadu di Sanglang selain pelaksanaan ‘Perlis Go Digital’, memerlukan anak-anak muda yang dapat memenuhi dan bersedia mengambil alih pengurusan dan keperluan masa depan, selari dengan nama program berkenaan iaitu ‘Perlis Youth Takeover’. Puteri Sharifah Khatreena juga turut menarik perhatian semua, untuk sentiasa cakna dengan pelbagai inisiatif yang dirancang oleh pelbagai agensi dan jabatan yang memerlukan penglibatan golongan belia termasuklah Projek Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan golongan muda untuk tampil kehadapan bagi melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung.

Kongsi:

Pengurusan yang cekap, telus dan efisyen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya dibuktikan susulan penganugerahan Sijil Audit Bersih oleh Ketua Audit Negara kepada agensi berkenaan. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor berkata, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan terhadap penyata kewangan MAIPs bagi tahun 2019 dan bersetuju mengeluarkan Sijil Tanpa Teguran yang membuktikan bahawa penyata kewangan yang disediakan MAIPs telah dipersembahkan mengikut piawaian yang diterima pakai, serta diamalkan secara konsisten dan seragam. Menurutnya, kejayaan MAIPs mengekalkan kecemerlangan 8 tahun berturut-turut itu, menggambarkan kesungguhan warga MAIPs dalam menjunjung tinggi prinsip integriti dalam setiap urus tadbirnya. Pengarah Audit Negeri Perlis, Abd Aziz Che Daud ketika mengulas mengenai prestasi pengurusan MAIPs berkata, tindakan penambahbaikan serta merta yang dilaksanakan selain kesungguhan warganya dalam melaksanakan perubahan ke arah yang lebih baik. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan persembahan ‘Sijil Tanpa Teguran Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan MAIPs Tahun 2019’ tersebut yang diserahkan oleh Abd Aziz Che Daud kepada Mohd Nazim di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak Kangar. Pada kesempatan yang sama, baginda menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang zakat melalui MAIPs selama ini selain turut menyeru agar semua menggunakan kesempatan berada di penghujung tahun 2020 ini untuk terus menerus menyalurkan sumbangan mereka melalui agensi tersebut.

Kongsi:

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengharapkan agar usaha-usaha persiapan penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 yang telah diperaku tunda pelaksanaannya kepada 24-30 Julai 2021 di Perlis haruslah diaktifkan semula dengan sebaik mungkin. ‘Kita mengambil perspektif bahawa kejohanan tersebut ‘tetap dilaksanakan’ walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda’. Justeru, baginda berharap supaya semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk melihat kembali ‘status dan progres’ persiapan masing-masing. Tindakan awal amat diperlukan supaya pihak penganjur tidak ‘terlepas pandang’ perkara-perkara penting untuk diselaraskan. Demikian titah Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020’ yang diadakan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Ir Ts Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Timbalan beliau, Zaharin Haris. Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Kamarudin memaklumkan bahawa sebagai usaha memeriahkan lagi suasana WCWC Perlis 2020, beberapa kejohanan telah dikenal pasti dijadikan sebagai pembuka tirai atau ‘Road to WCWC Perlis 2020’ seperti Liga Tertutup Perlis, Kejohanan Woodball Kebangsaan, Liga Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2021, Piala Presiden, Piala Tuanku Canselor UniMAP, Terbuka Perlis serta Matriculation Challenge. Pada kali ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara merebut ‘Kejohanan Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020’ diikuti Jabatan Kesihatan Negeri di tempat kedua, Hospital Tuanku Fauziah (ketiga) dan Kolej Matrikulasi Perlis (keempet). Sementara itu, dalam pertandingan merebut ‘Piala Presiden 2020’ pula, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis menjadi johan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis (kedua), Jabatan Pendidikan Negeri (ketiga) dan Jabatan Kehakiman Syariah (keempat). Turut disempurnakan ialah penyampaian hadiah-hadiah bagi kategori jemputan ketua-ketua jabatan yang diungguli oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis, Ruhisha Haris sebagai juara, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis Hj Abdul Muhaimin Osman (Naib Juara) dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad di tempat ketiga Untuk rekod, kejohanan woodball ini telah dijalankan sebanyak 4 pusingan secara berkumpulan sebelum memasuki pusingan kedua, yang telah bermula pada 12 September 2020 yang lalu dengan melibatkan sebanyak 38 buah pasukan terdiri daripada jabatan dan badan berkanun Negeri dan Persekutuan di Perlis.

Kongsi:

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan para pemimpin agar sentiasa mendahulukan agenda kesejahteraan rakyat dengan mengetepikan segala kepentingan peribadi. Titah baginda, kesejahteraan rakyat perlu menjadi fokus utama semua pemimpin dalam mendepani cabaran dan situasi semasa. “Para pemimpin perlu mempunyai sikap mengutamakan kepentingan rakyat serta mengenepikan kepentingan peribadi. “Mereka yang bersedia untuk bekerjasama dan berkolaborasi merupakan ciri kepimpinan cemerlang yang didambakan rakyat,” titah baginda. Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd. Muzzammil Ismail di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar di sini hari ini. Sementara itu Mohd. Muzzammil ketika sesi mengadap berkenaan, memaklumkan mengenai beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Peneraju bagi mempertingkatkan penguasaan bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi melalui akademik, persijilan profesional dan kemahiran. Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor ketika mengulas mengenai bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan bersama Yayasan Peneraju itu berkata, aspek keperluan dan kesediaan menjadi elemen utama dalam mengenal pasti kolaborasi yang dijalinkan itu. “Perkongsian hasrat dan matlamat antara kedua pihak juga adalah faktor yang mendorong kerjasama dalam pendidikan dan kemahiran golongan sasar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Kongsi:

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitah nasihatkan agar Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis terus beriltizam dengan semangat muafakat untuk memberi sumbangan ke arah memajukan pemikiran, meluruskan pemahaman, meneguhkan pegangan, menyebarkan dan mengangkat syiar Islam di bumi Perlis ini. Budaya ilmu perlu disuburkan dalam usaha mendidik masyarakat kini hingga generasi yang akan datang. Baginda juga menitahkan ucapan tahniah buat semua Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah memainkan peranan dengan pantas dan berkesan ketika berhadapan dengan suasana pandemik wabak COVID-19. Baginda tidak putus-putus berdoa agar negeri ini terus dipelihara keselamatan sekalian rakyat daripada ancaman COVID-19. Tuanku Syed Sirajuddin juga amat berbangga dengan keanggotaan Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis yang terdiri daripada pelbagai pakar dalam bidang masing-masing. Ini memberi nilai kelebihan bagi menghasilkan kajian-kajian fatwa yang lebih bermutu dan menyelesaikan permasalahan serta memberi panduan kepada masyarakat. Demikian titah baginda ketika berkenan menyempurnakan ‘Majlis Pengurniaan Watikah Tauliah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Dan Ahli Jawatankuasa Pengawasan Dan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis Sesi 2020-2021’ yang diadakan di Balai Menghadap Hijau Istana Arau pada petang tadi. Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Menurut baginda, kini Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mencapai bilangan mesyuarat kali yang ke-50 atau peringkat jubli emas. Tuanku Raja seterusnya menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan buat semua Ahli Jawatankuasa Fatwa yang terlibat secara langsung membangunkan institusi fatwa di negeri ini. Ia juga sekaligus membantu baginda melunaskan tanggungjawab sebagai Ketua Agama bagi negeri Perlis ini. Senarai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin terdiri daripada Profesor Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi Haji Othman, Datuk Alim Setia Ahmad Jusoh, Profesor Dr. Basri Ibrahim, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Datuk Dr. Johari Mat, Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Profesor. Madya Dr. Azman Mohd Noor, Profesor Madya Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Profesor Madya. Dr. Mohd Akram Datuk Dahlan, Dr. Kamilin Jamilin dan Dr. Ahmad Sufian Che Abdullah selain daripada Timbalan Mufti Negeri.

Kongsi:

PADANG BESAR, 13 Dis — Kerjasama strategik antara Perpustakaan Desa dengan Pusat Sumber Sekolah di Perlis mampu menjadikan projek rintis Book2U satu realiti. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha yang dilakukan pihak Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) diharap dapat meningkatkan potensi masyarakat melalui program keilmuan yang diadakan dari semasa ke semasa. “Menerusi usaha ini dapat dilihat bahawa kadar pinjaman buku di perpustakaan telah meningkat, peserta daripada golongan berpendapatan sederhana B40 juga mendapat bekalan bahan bacaan setiap dua minggu dan pusat sumber sekolah dapat meningkatkan lagi jaringan serta kerjasama antara agensi,” titah baginda. Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Perpustakaan Desa, Batu Bertangkup, Taman Desa Asnaf MAIPs dan Pelancaran Book2U, Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Titah baginda berbanding sektor lain, perpustakaan dilihat kurang terjejas akibat wabak COVID-19 bahkan terus aktif dalam membudayakan aktiviti membaca. Baginda bertitah projek ini dapat diperluaskan lagi ke seluruh sekolah di Perlis dan menjadi satu produk ’trademark’ bagi negeri ini kelak selain kajian keberkesanan perlulah dilaksanakan bagi memastikan projek ini ditambah baik pada masa hadapan. Program Book2U adalah hasil daripada percambahan idea Jawatankuasa Pembangunan Perpustakaan Desa Perlis dan PPANPs dalam memastikan perpustakaan awam terus relevan kepada masyarakat. Menerusi projek ini, setiap sekolah akan mencari 10 murid B40 yang berminat dan mereka akan dibekalkan sebuah beg berisi 10 buku pelbagai tajuk yang bersesuaian untuk bacaan murid dan ahli keluarga dan beg buku itu akan ditukar dengan buku baharu setiap dua minggu. — BERNAMA

Kongsi:

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content