Pusat Berita

Pusat Berita

Tapisan Berita

Paling Terkini

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara kejohanan liga woodball merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020 menumpaskan juara bertahan selama dua tahun berturut-turut iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP, Pauh Putra semalam. Sementara itu, pasukan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pula berjaya menundukkan Kolej Matrikulasi Perlis bagi merebut tempat ketiga dan keempat. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meluangkan masa berangkat menyaksikan perlawanan akhir tersebut. Pada kesempatan tersebut baginda turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis dari UniMAP iaitu Muhamad Azan Yaakob kerana telah dipilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa dalam Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWF) bagi tempoh selama 4 tahun bermula 2021 hingga 2025. Pada 14 Disember 2020 yang akan datang nanti pula akan diadakan satu pertandingan antara Ketua-ketua Jabatan dan agensi Persekutuan dan negeri bersempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra. Kejohanan ini adalah siri yang ke-4 yang diadakan setiap tahun bermula sejak tahun 2017 lalu lagi dan merupakan ilham Tuanku Raja Muda sendiri.

Kongsi:

Agenda kesejahteraan rakyat perlu didahulukan dan menjadi fokus utama semua pemimpin dalam mendepani cabaran dan situasi semasa. Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar dekat Kangar. Titah baginda, sikap mengutamakan kepentingan rakyat serta mengenepikan kepentingan peribadi selain bersedia untuk bekerjasama dan berkolaborasi merupakan ciri kepimpinan cemerlang yang didambakan rakyat. Mohd Muzzammil ketika sesi mengadap berkenaan, mempersembah maklum mengenai beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Peneraju dalam mempertingkatkan penguasaan bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi melalui akademik, persijilan profesional dan kemahiran. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor ketika mengulas mengenai bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan pihaknya bersama Yayasan Peneraju berkata, aspek ‘keperluan’ dan ‘kesediaan’ menjadi elemen utama dalam mengenalpasti kolaborasi yang akan dijalinkan. “Perkongsian hasrat dan matlamat antara kedua belah pihak juga adalah faktor yang mendorong kerjasama dalam pendidikan dan kemahiran golongan sasar,” tambah beliau. Yayasan Peneraju telah berjaya mengembangkan potensi lebih dari 33,000 golongan bumiputera seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya melalui peruntukan kerajaan selain turut mendanai inisiatifnya dengan kerjasama korporat dan agensi.

Kongsi:

ARAU : Dua pos kawalan baharu akan dibina di kawasan sempadan khususnya di sebelah utara di sini sebagai salah satu usaha mengukuhkan kawalan sempadan negara. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah diputuskan hasil daripada perbincangan berhubung isu sempadan yang diadakan baru-baru ini. Katanya, perbincangan tersebut adalah bagi mencari penyelesaian yang bersifat menyeluruh dalam soal keselamatan sempadan negara itu. Jelasnya, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang mengetahui Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) untuk Op Benteng telah mengadakan perbincangan tersebut bersama agensi beruniform yang mengawal kawasan sempadan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lain-lain lagi. “Untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan utara negara, kita akan membina dua pos kawalan baharu serta menambah peralatan baharu. “Beberapa peralatan baharu telah kita beli seperti dron dan sebagainya. Peruntukan khas di bawah Op Benteng memang ada disediakan untuk tujuan pemulihan di sempadan negara,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau di sini hari ini. Turut bersama pertemuan kira-kira satu jam itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain. Isu keselamatan di sempadan negara Malaysia-Thailand kembali hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini berikutan insiden tembakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 November lalu yang telah mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli,54. – UTUSAN ONLINE

Kongsi:

“Saya amat bersyukur apabila dimaklumkan bahawa rumah ibu saya yang terbakar empat hari lalu akan dibaikpulih sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Syukur semuanya selamat.” Perasaan itu dikongsikan Hasemoh binti Man, 57, mangsa kebakaran di Kampung Abi Tengah Kangar pada kira-kira jam 9.35 pagi pada 8 Disember baru-baru ini. Katanya, beliau bersama Ibu, Som Talib, 83, dan anak lelakinya, Ku Shahrul Nizam Ku Johari, 22 berada di rumah ketika kejadian berlaku yang memusnahkan sebahagian besar rumahnya dalam kebakaran tersebut. Walaubagaimanapun, beliau sekeluarga berasa amat terharu menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang amat prihatin dengan hal ehwal rakyat jelata yang berkenan berangkat meninjau tempat kejadian dan seterusnya menghulurkan sumbangan tunai MAIPs bagi meringankan beban beliau sekeluarga. Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Tambah menggembirakan mereka apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis turut berkenan menyampaikan berita kesediaan MAIPs bagi membaik pulih sepenuhnya rumah mereka. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor ketika ditemui berkata, pihaknya akan berusaha mempercepatkan tindakan pembaikan rumah berkenaan. “Melihat kepada keadaan mangsa sekeluarga, MAIPs akan menyegerakan tindakan perlu bagi membaiki rumah berkenaan. Perbincangan untuk melaksanakan gotong-royong membersihkan tapak rumah yang musnah dijilat api akan dilaksanakan,” katanya.

Kongsi:

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan ‘Kayuhan MARA Prihatin 2020’ yang bermula dan berakhir di Dataran GIATMARA, Jalan Jejawi Sematang Kawasan Perindustrian Jejawi, Kangar. Keberangkatan tiba baginda ke program yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu disambut oleh Pengarah MARA Negeri Hj Mohamad Johari Man dan Pengarah GIATMARA Negeri, Hasanuddin Abd Salam. Turut serta ialah Pengurus Rural Capital Berhad Sufian Muda, Pegawai Perhubungan Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali dan Pengurus GIATMARA Kangar, Rostina Hussain. Sepanjang program tersebut baginda dan para peserta yang lain menyampaikan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs dan juga daripada pihak MARA kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih. Baginda turut berkenan berangkat ke Asrama Anak Yatim Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah Kg Jejawi Dalam yang berada di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis bagi menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Rural Capital Berhad serta Yayasan Pelajaran MARA selain singgah di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI) bagi menyempurnakan beberapa aktiviti khidmat sosial korporat yang dianjurkan oleh pihak SWCorp. Terdahulu sebelum berlepas, Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan penutupan dan penyampaian sijil penyertaan serta sumbangan bersempena ‘Program Penjana GIATMARA’ yang merupakan program membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Peruntukan Penjana adalah dari Kementerian Kewangan Malaysia yang di salurkan terus kepada GIATMARA sebagai penyedia latihan. Untuk negeri Perlis Penjana TVET Komuniti telah melaksanakan 3 kursus termasuklah :- Kursus Kek Budget, Brownies, Tart dan Cream Puff selama 5 hari iaitu dari 7-11 Disember 2020 melibatkan seramai 10 orang. Kursus Eyelashes Perming selama 5 hari iaitu juga 7-11 Disember 2020 membabitkan seramai 10 orang peserta. Kursus Membaiki Telefon Bimbit selama 10 hari iaitu dari 23 November hingga 4 Disember 2020 seramai 18 orang, serta Program Penjana peruntukan ‘Empower NCER Perlis’ melalui Jahitan Kreatif pembuatan beg tangan selama 3hari iaitu dari 8-10 Disember 2020 seramai 8 orang peserta. Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa :- AA. Peralatan Program Penjana GIATMARA 2020. 1. Aimi Nadirah Zaidi – Kursus Eyelash Perming, 2. Nur Aqina Dayana Mohd Abdullah – Kursus Eyelash Perming 3. Asmawani Omar – Kursus Eyelash Perming, 4. Mashitah Mohammad Wazir – Kursus Pembuatan Kek Budget, Brownies, Tart dan Puff, 5. Siti Aishah Anas – Kursus Pembuatan Kek Budget, Brownies, Tart dan Puff, 6. Norsyazwani Shamsuddin – Kursus Pembuatan Kek Budget, Brownies, Tart dan Puff. BB. Program Latihan Pembentukan Usahawan MARA-MAIPs. 1. Mohd Nizam Saad – Projek Ternakan Puyuh – RM8,307, 2. Noor Ayuti Mansor – Projek Jahitan RM8,000. 3. Shoufiqul Firdaus Kamarudin – Projek Pisang Goreng dan Keropok Lekor RM6,340, 4. Nor Sharizan Shaaban – Projek Makanan RM6,300, 5. Ismail Khairudin – Projek Urutan dan Spa RM5,6140, dan 6. Mohd Hanif Bidin – Barber Shop RM5,579.00.

Kongsi:

Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis telah berjaya melaksanakan ‘Program Pembudayaan Amalan 3R’ dengan kerjasama Al Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI) dan Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Kg Jejawi Dalam, Kangar. Program yang dianjurkan ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan sekolah bagi menerapkan amalan kitar semula di dalam pengajaran dan pembelajaran. Program ini juga merupakan program kolaborasi SWCorp yang julung kali diadakan melibatkan Sekolah Agama Rakyat. SWCorp dengan kerjasama MADI dan SRI Al Furqan telah menganjurkan beberapa pertandingan sempena program ini termasuklah ‘Pertandingan Bercerita bagi Sekolah Rendah yang bertemakan alam sekitar dan kitar semula’, ‘Pertandingan Rekacipta bagi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dengan menggunakan barang berkonsepkan 3R khususnya plastik’, dan ‘Pertandingan Tulisan Khat bagi Sekolah Menengah yang bertemakan Kitar Semula dalam Bahasa Arab’. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran ‘Kempen #JanganGunalah dan Hargai Makanan, Elak Pembaziran’ peringkat MADI sempena Program ‘MAIPs Peduli’ anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada petang semalam.

Kongsi:

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content