Pusat Berita

Pusat Berita

Tapisan Berita

Paling Terkini

Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melahirkan keprihatinan kepada warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri ini dengan menyalurkan sumbangan untuk pengurusan bagi tahun 2021. Majlis penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di pekarangan Dataran Jubli Emas, Masjid Alwi Kangar. Sebanyak sembilan buah PDK yang dikendalikan oleh pelbagai komuniti dan NGO masing-masing menerima pengurniaan sumbangan RM2,000 yang disempurnakan baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Antara Pusat PDK yang terlibat adalah di Kangar, Residensi, Seri Kayangan, Felda Chuping, Felda Mata Ayer, Indera Kasih, Beseri, Sanglang dan Khalilu Bushro Kuala Perlis. Ketua pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sumbangan berkenaan adalah merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam membantu melancarkan lagi pengurusan pusat PDK yang kebanyakannya diuruskan oleh pihak NGO yang turut memberikan peluang peningkatan kemampuan urus diri dan kemahiran hidup anak-anak kelainan upaya yang sebahagiannya juga adalah dari kalangan warga asnaf.

Kongsi:

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya melahirkan sebuah ‘Peranti Diagnostik Perubatan untuk COVID-19’ (Medical Diagnostic Device for COVID-19) yang terpantas dan yang pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan kaedah elektrikal yang memberikan hasil yang begitu cepat dan tepat. Kit tersebut kini telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia untuk diteruskan ke peringkat ujian klinikal penuh yang akan dilakukan bermula pada awal tahun 2021 di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Shah Alam dan diharap ianya dapat membantu dalam mengawal pandemik COVID-19 yang menjadi masalah sejagat. Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) UniMAP Prof. Ts Dr. Uda Hashim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis sembah taklimat hasil kajian berkenaan yang diadakan di Galeri DiRaja Arau. Kehadiran Prof Uda yang diiringi anak beliau, Muhammad Nur Afnan Uda yang juga merupakan salah seorang yang terlibat di dalam penyelidikan produk tersebut disambut oleh Setiausaha Sulit Tuanku Raja Muda Perlis, Zaharin Haris. Menurut Prof Uda yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, peranti ini mampu memberikan keputusan dalam masa kurang daripada 20 minit dan telah mengambil masa selama 2 tahun untuk dibangunkan.

Kongsi:

Bagi memenuhi matlamat Tentera Darat Malaysia (TDM), segenap peringkat di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) hendaklah sentiasa berusaha keras untuk terus mengekalkan peranan dan tugasnya iaitu ‘To raise, Train and Maintain’ anggotanya. Ini memerlukan komitmen jitu dari semua bagi merealisasikan hasrat ini. Dalam usaha memperkasakan Rejimen Askar Wataniah juga, lebih banyak usaha dan promosi yang dipelbagaikan hendaklah dilaksanakan. Rejimen Askar Wataniah juga amat mengalu-alukan dan memerlukan lebih ramai penyertaan belia dan beliawanis dari agensi kerajaan dan swasta ke dalam pasukannya termasuklah IPTA dan IPTS setempat. Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis ‘R504AW Integration & Appreciation Nite 2020’ anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Denai Larian JPS Sungai Perlis, Pengkalan Asam Kangar. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kongsi:

Kangar: Jumlah pengunjung yang berkurangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati tidak menjejaskan jualan harumanis apabila ia boleh dipasarkan secara dalam talian. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berikutan itu tanaman pokok mangga itu dilihat masih berpotensi meningkatkan hasil petani. Baginda bertitah, program penanaman harumanis di Perlis dilihat sebagai inisiatif yang baik bagi merancakkan industri berkenaan pada masa hadapan. “Pengusaha tanaman harumanis perlu mengambil peluang sebaik mungkin dengan menyelenggara dan menguruskan pokok dengan baik sehingga dapat mengeluarkan hasil berkualiti dan selamat untuk dipasarkan. “Ikutilah kursus dan dapatkanlah khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dalam pengurusan harumanis mengikut amalan teknologi yang ditetapkan,” titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan penanaman serentak 4,500 pokok harumanis Perlis 2020 bersempena Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Perlis, di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man. Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penularan Covid-19 jelas memberi kesan begitu besar terhadap sumber pendapatan dan keperluan sara hidup rakyat. Berikutan itu, baginda berharap golongan terjejas khususnya kelompok B40 digalakkan menyertai aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan sampingan “Aktiviti pertanian sekiranya diusahakan dengan cara dan kaedah betul, ia akan mampu memberi sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Kongsi:

ARAU : Kerajaan melalui Jabatan Pertanian melaksanakan projek pajakan ladang mangga harumanis milik agensi itu kepada pengusaha buah berkenaan di negeri ini dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman tersebut sekali gus menambah sumber pendapatan rakyat. Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, projek perintis yang bermula sejak awal bulan itu melibatkan keseluruhan 6.06 hektar ladang harumanis kepada tiga individu. Katanya, ketiga-tiga pemajak akan menerima 2.02 hektar ladang mangga harumanis yang masing-masing memiliki kira-kira 260 pokok harumanis dewasa. “Kami akan memantau selama semusim bagaimana mereka menguruskan dua hektar ladang ini hinggalah ke proses penjualan dan melihat hasilnya. Sekiranya projek ini berjaya, maka kita akan kembangkan kepada banyak ladang-ladang lain milik Jabatan Pertanian. “Mereka yang dipilih untuk memajak ladang ini sememangnya mempunyai pengalaman menguruskan ladang harumanis sendiri. Kita akan memberi khidmat nasihat tetapi terpulang pada mereka untuk menguruskan ladang sendiri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Pertanian) dan penanaman serentak 4,500 pokok mangga harumanis Perlis 2020 di Pusat Internet Malaysia, Simpang Empat di sini hari ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Sebanyak 4,500 pokok mangga harumanis ditanam secara serentak di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri iaitu 100 pokok bagi setiap DUN iaitu tiga pokok bagi setiap rumah. Harga setiap satu pokok tersebut adalah RM15, namun peserta hanya perlu membayar RM5 sepokok kerana mendapat subsidi sebanyak RM10 daripada kerajaan negeri.- UTUSAN ONLINE

Kongsi:

Program Penanaman Serentak 4,500 lagi Pokok Mangga Harumanis Perlis di seluruh negeri ini pada hari ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik bagi merancakkan lagi industri Harumanis Perlis. Para peserta yang terlibat dalam program ini haruslah mengambil peluang tersebut dengan sebaik mungkin. Pokok yang ditanam di sekeliling rumah perlu diurus dengan baik sehingga dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti dan selamat untuk dipasarkan. ‘Ikutilah kursus dan dapatkanlah khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dalam pengurusan Harumanis mengikut amalan teknologi yang ditetapkan’. Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Penanaman Serentak 4,500 Pokok Mangga Harumanis Perlis, Tahun 2020’ bersempena dengan ‘Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Sektor Pertanian)’ yang diadakan di Pusat Internet Malaysia Kampung Batas Lintang Simpang Empat. Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis itu disambut oleh Pengarahnya Hafizuddin Othman serta para pegawai kanan jabatan. Turut hadir mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man. Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra, menitahkan rasa amat tertarik dengan program-program pertanian yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan yang secara khusus memberi tumpuan dan keutamaan kepada golongan B40. Tambah baginda, penularan COVID-19 jelas memberi kesan yang begitu besar terhadap sumber pendapatan dan keperluan sara hidup. Oleh itu, baginda amat menggalakkan golongan B40 khususnya menyertai aktiviti pertanian kerana sekiranya diusahakan dengan cara dan kaedah yang betul, InsyaAllah ia akan mampu memberi sumber pendapatan sampingan yang dapat membantu memenuhi keperluan kos sara hidup dan meringankan beban kewangan keluarga masing-masing. Untuk rekod, walaupun terdapat pengurangan jumlah pengunjung ke Perlis untuk musim Harumanis pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, namun, Harumanis Perlis tetap mendapat sambutan menggalakkan menerusi penjualan atas talian. 5 Disember pada setiap tahun ialah ‘World Soil Day’ yang disambut bagi memberi fokus dan juga kesedaran kepada masyarakat tentang betapa mustahaknya pengurusan sumber tanah yang lestari di seluruh dunia.

Kongsi:

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content