Pusat Berita
Pusat Berita
Tapisan Berita
Paling Terkini
Galeri Seni Lukis Negeri Perlis yang terdapat di Perpustakaan Awam Negeri Perlis Cawangan Simpang Empat mempunyai keistimewaan dan keunikkannya tersendiri iaitu menempatkan hasil-hasil lukisan yang telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sejak beberapa tahun yang lalu.
Ia turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Demikian dimaklumkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Azizi Janan ketika mengalu-alukan para peserta yang mengambil bahagian mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 55 bagi tahun 2020’ baru-baru ini.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Azizi, hingga kini terdapat lebih 350 karya yang disumbangkan oleh City Art Gallery, 1MCAT (Malaysia Contemporary Art Tourism), Persatuan Pelukis Negeri Perlis, ASWARA dan lain-lain lagi.
Tambah beliau lagi, koleksi yang sedia ada antara lain terdiri daripada karya catan, lukisan, cetakan dan juga fotografi.
Galeri berkenaan dibuka kepada orang ramai dan adalah percuma. Seluruh masyarakat di negeri Perlis khususnya yang bermastautin di selatan Perlis dialu-alukan datang beramai-ramai untuk mengunjungi galeri ini. Sambil-sambil melawat galeri seni lukis tersebut, para pengunjung juga turut boleh membaca pelbagai koleksi buku yang disediakan di Perpustakaan berkenaan.
Waktu perkhidmatan ialah Isnin hingga sabtu dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Terdahulu, Tuanku Raja Muda berkenan singgah bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar kawasan kariah Masjid Putra Simpang Empat.
Pada kesempatan yang sama, menyentuh mengenai situasi semasa Covid-19, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan rakyat Perlis supaya jika kurang sihat, kekal di rumah kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.
- 2020/11/03 2:49 PM
- Bernama
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan agar semua pihak terus memberikan sepenuh kepercayaan kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mentadbir seluruh hartanah dan aset wakaf.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan ‘Medan Waqaf As-Solihin’ di Masjid As Solihin, Chuping yang merupakan projek sumbangan wakaf anak-anak kariah masjid berkenaan untuk mewujudkan ruang serbaguna bagi tujuan pembesaran ruang solat masjid selain digunakan untuk aktiviti pengimarahan.
Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr. Hj. Hazman Hassan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menerima persembahan taklimat rancangan pembinaan kompleks baharu masjid tersebut oleh Pengarah Pembangunan Negeri Perlis (ICU), Maznah Musa dan Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Mat Rejab.
Titah baginda lagi, setiap amanah wakaf di atas nama MAIN sudah pasti diurus tadbir dengan penuh dedikasi dan beramanah.
Mohd Nazim pula menambah, “Sebagai agensi yang diberikan kuasa sebagai pemegang amanah tunggal, MAIN sentiasa komited menerokai pelbagai inisiatif ke arah menyuburkan semangat berwakaf di kalangan masyarakat”.
- 2020/11/03 2:44 PM
- Bernama
KANGAR: Sunnah Nabi Muhammad SAW harus dijadikan panduan dan rujukan oleh umat Islam selain berpegang kepada al-Quran dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera, berilmu dan berdaya saing.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal demikian kerana, sunnah Rasulullah SAW lengkap dengan pelbagai panduan dan pedoman untuk manusia menjalani kehidupan.
“Setiap ajaran sunnah ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa dikaji dan diterokai kandungannya bagi kepentingan kehidupan masyarakat di dunia dan akhirat.
“Ia juga menjadi antara sebahagian mekanisma bagi memastikan sunnah kekal relevan di mata masyarakat dalam usaha memupuk kesejahteraan ummah dalam pelbagai aspek,” titah baginda di sini hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Seminar Warisan Nabawi (SWAN) Peringkat Antarabangsa kali ketujuh 2020 bermula hari ini hingga esok secara atas talian di sini.
Seminar melibatkan pembentangan sebanyak 99 kertas kerja termasuklah dari Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Malaysia itu adalah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sementara itu, baginda bertitah, penganjuran seminar SWAN 2020 amat penting dan signifikan dengan dunia hari ini kerana sunnah Rasulullah SAW hendaklah dijadikan sebagai teras perbincangan dalam menyelesaikan isu-isu bersifat semasa dan kontemporari.
“Ia akan menjadikan kita lebih menghayati peranan sunnah sebagai sumber kedua dalam syariat Islam sekali gus menjadi panduan dalam mengecapi keamanan dan kesejahteraan ummah.
“SWAN juga merupakan satu usaha signifikan dalam memberi kefahaman tentang pentingnya berpegang teguh kepada ajaran Rasulullah SAW ke arah pembentukan keamanan khususnya dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama.
“Kita juga dapat mengetahui dan memahami satu panduan komprehensif bersandarkan wahyu bagi melahirkan model kehidupan yang aman tanpa mengira agama mahupun bangsa,” titah baginda. -UTUSAN
- 2020/10/30 10:48 PM
- Utusan Online
Dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera, berilmu dan berdaya saing, selain merujuk dan berpegang kepada al-Quran, umat Islam juga perlu kepada ajaran Sunnah Nabi.
Ini kerana, Rasulullah SAW datang bersama sebuah risalah lengkap dengan pelbagai panduan dan pedoman untuk manusia menjalani kehidupan.
Setiap ajaran sunnah ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa dikaji dan digali kandungannya bagi kepentingan kehidupan masyarakat di dunia dan di akhirat.
Ia juga menjadi antara sebahagian mekanisma bagi melonjakkan relevanisasi sunnah di mata masyarakat dalam usaha memupuk kesejahteraan Ummah dalam pelbagai aspek.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Seminar Warisan Nabawi (SWAN) Peringkat Antarabangsa Kali Ketujuh Tahun 2020’ yang diadakan pada hari khamis dan jumaat 29-30 Oktober 2020 secara telesidang pada petang ini.
Seminar melibatkan pembentangan sebanyak 99 kertas kerja termasuklah dari Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia, selain daripada Malaysia itu adalah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs melihat penganjuran seminar seumpama SWAN 2020 ini amat penting dan signifikan sekali dengan dunia hari ini kerana Sunnah Rasulullah SAW hendaklah dijadikan sebagai teras perbincangan dalam menyelesaikan isu-isu bersifat semasa dan kontemporari. Ia akan menjadikan kita lebih menghayati peranan sunnah sebagai sumber kedua dalam syariat Islam sekaligus menjadi panduan dalam mengecapi keamanan dan kesejahteraan ummah.
SWAN juga merupakan satu usaha signifikan dalam memberi kefahaman tentang pentingnya berpegang teguh kepada ajaran Rasulullah SAW ke arah pembentukan keamanan khususnya dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama, serta membongkar ilmu dan penemuan terkini bersumberkan sunnah nabawiyah dalam menangani cabaran bagi mewujudkan kehidupan lebih harmonis dalam konteks masyarakat majmuk.
‘Kita juga dapat mengetahui dan memahami satu panduan komprehensif bersandarkan wahyu bagi melahirkan model kehidupan yang aman tanpa mengira agama mahupun bangsa’.
Tuanku Raja Muda juga berharap agar segala buah fikiran dan perkongsian oleh para pembentang tidak akan terhenti sekadar cetusan idea, teori dan resolusi semata, malah implimentasinya harus dijelmakan agar menjadi ‘resipi’ bagi menyelasaikan masalah dan menjadi manual kejayaan umat Islam dan dunia amnya.
Untuk rekod, tema seminar yang diadakan secara digital pada kali ini ialah “Peaceful Co-Existence in Religious Diversity from Prophetic Paradigm: Challenges and Opportunities”.
Antara para pembentang ucaptama yang diundang ialah Mufti Negeri Perlis Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Rektor KUIPs Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman dan Pengarah Institut Sains Islam USIM, Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Terakhir sekali SWAN diadakan ialah pada Oktober 2018 di International University for Renewal (IUR), Istanbul, Turki yang turut dirasmikan oleh Tuanku Raja Muda.
- 2020/10/30 8:09 AM
- Bernama
Pelajar yang bijak merancang masa mampu menyiapkan tugasan mengikut tempoh ditetapkan walaupun sibuk dengan aktiviti kokurikulum yang juga penting kerana ia membentuk sahsiah pelajar dengan mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepemimpinan dan pergaulan yang menjadi nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan suatu hari kelak.
Pelajar juga dapat memupuk sifat menepati masa dan disiplin jika mereka menguruskan masa mereka dengan baik. Tekanan mampu dikurangkan jika pelajar menyiapkan tugasan sekolah serta mengulang kaji di awal waktu dan ia dapat dilakukan dengan tenang dan hasil kerja yang lebih berkualiti.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan pelitup separuh muka sumbangan CSR daripada Konsortium Bumita Nepta Sdn Bhd melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Sekolah Kebangsaan Simpang Empat sempena kempen MAIPs bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat, Cergas dan Bersih’ yang diterima oleh Guru Besarnya Tengku Tun Noorani Tengku Senawi pada petang semalam.
Keberangkatan baginda ke salah sebuah projek ‘Sekolah Amanah Jamalullail di bawah tajaan MAIPs’ itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Mohd Nazim, program ‘Sekolah Amanah Jamalullail merupakan salah satu inisiatif MAIPs dalam bidang pendidikan dan ianya telah dilancarkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra pada 3 Mac 2020 yang lalu.
Tambah beliau, sejak diasaskan pada tahun 1920, pendidikan adalah salah satu fokus utama MAIPs dalam meningkatkan sosio ekonomi ummah di negeri ini. Sebagai contoh, pada tahun 1930, Sekolah Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, Arau ditubuhkan dengan menggunakan dana zakat. Almarhum Syed Alwi Jamalullail yang merupakan Raja Perlis pada ketika itu telah menitahkan agar dibina sebuah bangunan yang lengkap sekolah berkenaan dan berjaya direalisasikan pada tahun 1936.
Naharudeen pula menerangkan bahawa pelaksanaan program ‘Sekolah Amanah Jamalullail’ adalah hasil kerjasama erat antara MAIPs dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di bawah kendalian Yayasan AMIR melalui LeapED Services yang bermatlamatkan untuk menambah baik hasil pembelajaran bagi setiap pelajar agar lebih mampan melalui matlamat strategik yang memberi fokus terhadap kepimpinan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa serta masyarakat.
Tengku Tun Noorani pula bersyukur dan berbangga kerana Sekolah Kebangsaan Simpang Empat yang dipimpin oleh beliau dipilih sebagai salah sebuah sekolah yang bertuah terpilih menerima tajaan MAIPs untuk pelaksanaan projek tersebut. “Ini adalah satu anugerah untuk warga sekolah bagi terus mempertingkatkan lagi kemajuan sekolah ini”.
- 2020/10/30 8:07 AM
- Bernama
Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju & Akut Serta Ultrasound Malaysia yang juga dikenali dengan nama ‘Malaysian Advanced Acute Internal Medicine & Ultra Sound Society (MAAIMUSS)’ dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan College of Physicians menganjurkan ‘The 1st National Ultrasound and Enchocardiography Course In The Era of Covid-19, 2020’ yang dilaksanakan secara webinar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra Perlis pada selasa, 27 Oktober 2020.
Titah perasmian seminar selama sehari suntuk itu akan disempurnakan secara digital oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Demikian dimaklumkan oleh Presiden MAAIMUSS, Prof Datuk Dr Paras Doshi yang merupakan Pakar Perunding Perubatan Dalaman Maju dan Akut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ke sesi taklimat program yang diadakan di HTF baru-baru ini.
Paras mewakili MAAIMUSS menjunjung setinggi-tinggi kasih dan mempersembahkan ucapan penghargaan di atas limpah perkenan Tuanku Raja Muda Perlis, yang sudi menerima pelantikan sebagai Penaung DiRaja persatuan berkenaan untuk tempoh selama 5 tahun bermula 15hb Oktober 2020 hingga 14hb Oktober 2025.
- 2020/10/28 8:56 AM
- Bernama