Laporan oleh Sholina Osman dari Krabi, Thailand
27 JAN. 2026
“Kurma Daging Perlis” muncul sebagai hidangan yang istimewa apabila ia kini boleh dinikmati oleh pengunjung di sebuah restoran makanan Jepun halal yang terkenal di Krabi, Thailand.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiring oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenaan berangkat ke Eiji Maya Japanese Restaurant bagi melancarkan makanan tradisional ini sempena Promosi Makanan Perlis.
Promosi ini diadakan sempena Raja Muda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetuai delegasi Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd ke Wilayah Andaman Thailand di Krabi dari 23 hingga 25 Januari.
SETIAP KALI LAWATAN
Sudah menjadi kelaziman Raja Muda Perlis ini akan melancarkan Perlis Food Promotion pada setiap kali lawatan Baginda sama ada di dalam atau luar negara.
Sempena majlis ini Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyerahkan buku “Perlis Food Promotion” kepada pemilik Eiji Maya Japanese Restaurant iaitu Rusdee Kudus.
Restoran makanan Jepun yang terletak di Paknam, Pisalpop, Mueang Krabi ini akan menghidangkan menu “Kurma Daging Perlis” pada tempoh “Perlis Food Promotion”
berlangsung.
Hidangan “Kurma Daging Perlis” ini telah disediakan oleh Ashidan Mat Isa dari Restoran Shamiza Kampung Gial, Arau.
SAMBUTAN JUBLI PERAK
Buku “Food Perlis Promotion” ini diterbitkan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Negeri Perlis pada 17 April 2025, Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82 pada 17 Mei 2025 yang lalu serta sempena 25 tahun pelantikan Baginda berdua sebagai Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis pada 12 Oktober 2025.
Penerbitan ini juga turut menyokong kempen Promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026.
Matlamat utama buku ini ialah untuk mengetengahkan kekayaan tradisi kulinari dan warisan masakan Perlis ke peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh identiti budaya tempatan melalui resepi dan sajian yang membangkitkan selera. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia