KANGAR, 13 Januari 2026 — Adat istiadat Melayu, agama Islam dan sistem pemerintahan beraja merupakan tiga elemen asas yang saling melengkapi dalam membentuk sebuah negeri yang seimbang, berjati diri dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adat ialah “akar” yang menyambungkan masyarakat kepada warisan dan sejarah, agama sebagai “cahaya” yang membimbing perjalanan hidup, manakala pemerintahan pula berperanan sebagai “wadah” bagi melaksanakan amanah serta menjamin kebajikan rakyat.
Menurut baginda, apabila ketiga-tiga elemen tersebut disatukan dalam satu sinergi yang bersepadu, maka terbinalah sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut pembangunan fizikal, malah kukuh dari segi nilai, akhlak dan keperibadian rakyatnya.
“Sesungguhnya kekuatan sesebuah negeri tidak terletak pada kemajuan fizikal semata-mata, tetapi juga pada keupayaannya memelihara jati diri serta nilai budaya yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, di sini baru-baru ini.
Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan bahawa adat istiadat Melayu perlu difahami sebagai satu sistem nilai yang harmoni dengan ajaran Islam serta selari dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negeri dan negara ini.
“Kitalah penjaga amanah sejarah. Kitalah pelindung khazanah warisan. Maka tanggungjawab ini hendaklah dipikul dengan iltizam, kejujuran, hikmah serta keikhlasan kerana Allah SWT,” titah baginda lagi.
Raja Muda Perlis turut menekankan kepentingan mendidik generasi muda agar memahami dan menghargai adat istiadat Melayu sebagai sebahagian daripada jati diri mereka, bukan sekadar sebagai simbol atau upacara semata-mata.
Menurut baginda, adat istiadat merangkumi nilai sopan santun, rasa hormat, susila serta adab dalam kehidupan bermasyarakat, yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat beradab dan bertamadun tinggi.
Titah baginda ini mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja Perlis dalam memastikan warisan adat dan budaya Melayu terus dipelihara, diperkasakan serta diwariskan secara berkesinambungan kepada generasi akan datang, seiring dengan tuntutan agama dan realiti pembangunan semasa.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia