Hormati adat resam, sensitiviti agama masyarakat ketika melawat tiga wilayah di Selatan Thailand

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
8 SEPT. 2025.

Rakyat Malaysia diminta menghormati adat resam, norma budaya serta sensitiviti agama masyarakat setempat, khususnya ketika melawat ke tiga wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat di Selatan Thailand.

Selain itu mereka juga digalakkan berpakaian sopan terutamanya apabila melawat rumah ibadat atau kawasan luar bandar.

Amalkan juga tingkah laku yang berhemah dan berinteraksi secara mesra dengan penduduk tempatan bagi mencerminkan imej positif Malaysia ketika berada di negara jiran berkenaan.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dikongsikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi di Sadao pada Ahad lalu.

PROGRAM KAYUHAN MERDEKA

Ahmad Fahmi mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Pejabat Daerah Sadao sempena program Kayuhan Merdeka 2025 bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-68 serta promosi Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 (TMPs 2024-2026) anjuran bersama oleh pihak MAIPs, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Pejabat Daerah Sadao dan TTG Perlis.

Ahmad Fahmi menjelaskan banjir kilat dan jalan terputus berkemungkinan berlaku di beberapa kawasan.

Oleh itu, katanya sila rancang perjalanan masing-masing dengan teliti, ikuti ramalan cuaca tempatan, serta elakkan kawasan yang sering terjejas banjir.

KEADAAN CUACA BURUK

Juga, sekiranya berlaku keadaan cuaca buruk, patuhi arahan pihak berkuasa tempatan demi keselamatan diri.

Semua pihak mengambil perhatian bahawa Selatan Thailand sering mengalami musim hujan berpanjangan, terutamanya antara bulan September hingga Disember.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Sadao Nattakarn Sainoi yang baharu sahaja 15 hari dilantik menjawat jawatan tersebut berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima penganjuran program diraja yang bukan sahaja mampu mempromosikan sektor pelancongan, malah turut memperkukuh hubungan persahabatan dua negara berjiran.

DELEGASI NEGERI PERLIS

Kayuhan edisi kali ini melibatkan delegasi negeri Perlis yang disertai seramai 56 peserta, terdiri daripada ketua-ketua agensi negeri dan Persekutuan, selain wakil sektor swasta.

Ia bukan sekadar memberi ruang kepada peminat sukan berbasikal, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan persahabatan, budaya, ekonomi, serta gaya hidup masyarakat di kawasan sempadan Thailand–Malaysia.

Malah ia juga menjadi usaha memperkasakan promosi pelancongan, meningkatkan kesedaran kesihatan, serta menggalakkan gaya hidup cergas.

MEMBAWA SIMBOLIK PERSAHABATAN

Lebih daripada itu, tambah beliau, kayuhan ini membawa simbolik persahabatan, kerjasama dan kesepaduan erat antara kedua-dua negara yang berkongsi kedekatan dari segi geografi, budaya dan kehidupan masyarakat, sekali gus mengukuhkan persefahaman serta perpaduan.

Bagi pihak penduduk Daerah Sadao, Nattakarn Sainoi turut menzahirkan menjunjung kasih kepada baginda Tuanku serta penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang telah berganding bahu menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, Program Kayuhan Sadao bukan sekadar mengangkat semangat kecergasan dan gaya hidup sihat, malah turut melakar makna mendalam sebagai simbol persahabatan, kerjasama, serta semangat kebersamaan yang merentasi sempadan.

Sebagai simbolik peringatan kunjungan Tuanku Raja Muda berkenan menanam sepohon pokok daun semambu atau ‘Siamese Neem Tree’ di pekarangan pejabat tersebut. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content