ISNIN, 25 NOVEMBER 2019 — TAWARIKH China mencatatkan pada penghujung abad ke-18, Maharaja Qian Long sering berpakaian orang kebanyakan untuk meninjau keadaan rakyat secara senyap.
Sejarah Melayu pula merakamkan 300 tahun sebelum Qian Long, Sultan Alauddin Riayat Shah, menyamar sebagai rakyat biasa, turun padang menyiasat jenayah di Melaka.
Pada Jun 2019, saya berkesempatan melihat sendiri bagaimana Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra, turun padang berpakaian biasa dan berbasikal meninjau negeri, malah menghulurkan bantuan kepada rakyat. Ini aktiviti mingguan Tuanku sejak 2013.
Apabila turun padang, wakil agensi kerajaan turun bersama. Bukan sebagai pengiring, tetapi supaya pegawai kerajaan boleh melihat sendiri keadaan setempat dan kehidupan rakyat, sekali gus menyelesaikan masalah yang timbul serta-merta.
Raja terus memainkan peranan amat penting sebagai pelindung rakyat Malaysia. Hakikatnya, institusi Raja memainkan peranan amat penting dalam pembentukan negara dan bangsa Malaysia.
Dalam buku terbitan 1979 bertajuk Protector: An analysis of the concept and practice of loyalty in leader-led relationships within Malay society, Dr Chandra Muzaffar menyatakan bahawa selepas Perang Dunia Kedua dan selepas penubuhan UMNO, pemimpin nasionalis Melayu dilihat sebagai protector atau ‘pelindung’ kaum Melayu menggantikan Raja-Raja Melayu.
Namun, bagi sarjana seperti Dr Anthony Milner, Raja-Raja Melayu tidak pernah berhenti memainkan peranan proaktif dalam kerangka Perlembagaan sejak 1957.
Pada pandangan saya pada abad ke-21 ini, kegagalan pemimpin politik nasionalis Melayu yang terpalit skandal rasuah memfokuskan kembali peranan Raja sebagai pelindung, bukan sahaja untuk kaum Melayu, malah seluruh rakyat Malaysia.
Saya ingin menggariskan secara spesifik dua peranan utama institusi Raja sebagai pelindung rakyat Malaysia. Yakni sebagai pemangkin urus tadbir baik dan perekat sosial masyarakat Malaysia yang majmuk.
Walaupun hari ini, Raja tidak boleh terbabit secara langsung dalam pentadbiran kerajaan, institusi Raja boleh mengemudi kerajaan ke arah urus tadbir baik.
Contohnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Mei 2008 bahawa cukai taksiran di Selangor tidak dapat diturunkan seperti dalam manifesto PRU disebabkan kekangan kewangan.
Dalam hal ini, institusi Raja bertindak sebagai suara rasional mengimbangkan politik populis.
Pada Mac 2017, Sultan Nazrin Shah pada satu majlis pelancaran buku, bertitah menyeru hakim agar berani mengemukakan penghakiman bertentangan atau dissenting judgement demi menegakkan kedaulatan undang-undang di negara ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut mengiktiraf inspirasi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, melalui peruntukan RM20 juta bagi mengembangkan program Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada banduan.
Dalam konteks institusi Raja sebagai perekat sosial, Sultan Nazrin Shah dalam buku baginda, The Monarchy in Contemporary Malaysia, menulis: “The monarchy provides a kind of social glue helping to bind us.”
Apabila orang politik sibuk mengajak penyatuan berasaskan kaum, institusi Raja menjadi pencetus penyatuan rakyat Malaysia pelbagai kaum.
Contoh tidak lama dahulu, pada September 2017, Sultan Ibrahim dalam komen baginda mengenai sebuah dobi di Muar yang hanya menerima pelanggan beragama Islam, bertitah bahawa amalan ini tidak sesuai dengan masyarakat negeri Johor.
Titah baginda: “Johor milik Bangsa Johor dan milik semua kaum dan agama.”
Dalam Tujuh Amanat Raja Perlis pula, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah:
“Pegangan Islam dalam negeri Perlis hendaklah harmoni untuk semua pihak, tanpa mengira bangsa dan agama. Islam yang diajar dalam negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama. Pendekatan Islam yang diajar kepada anak di sekolah dan rakyat jelata hendaklah bebas daripada unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan kaum dan agama semata.”
Dalam Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja dirujuk sebagai ‘Raja-Raja’, sekali gus menunjukkan bahawa Duli Tuanku adalah Raja bagi seluruh rakyat Malaysia dan bukan untuk satu kaum sahaja.
Jelas, institusi Raja menjadi payung perpaduan rakyat Malaysia, bertanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri Sabah, Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.
Malah Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan menyebut sebarang perubahan berkaitan hak Bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153 perlu melalui Majlis Raja-Raja.
Kita sedia maklum hak setiap kaum dalam Perlembagaan tidak boleh dipersoalkan. Namun, di sisi satu lagi, ada pihak suka membuat provokasi bahawa hak Bumiputera terhakis atau tercabar.
Pihak yang membuat provokasi ini sebenarnya sedang memperlekehkan institusi Raja yang menjadi ‘pelindung’ kepada hak Bumiputera dalam Perlembagaan.
Kesimpulannya, institusi Raja di Malaysia mempunyai hikmah tersendiri bukan sahaja untuk mengekalkan kedaulatan Raja, malah memainkan peranan proaktif sebagai Raja Berperlembagaan menerajui negara ke dekad ke-3 abad ke-21 dan seterusnya.
Penulis adalah YB Steven Lim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025