Padang Besar, 2 Nov. 2019- Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW hendaklah menjadi pemangkin kepada kita untuk mengikuti jejak langkah baginda dan bukan sekadar sambutan secara bermusim.
Di Perlis, kita amat menggalakkan agar seluruh umat Islam memperbanyakkan aktiviti ilmu yang boleh mempertingkatkan kecintaan kepada baginda Nabi SAW.
Peringatan atau ‘Zikra’ Rasulillah SAW, hendaklah dihayati dalam bentuk tindakan dan amalan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program “Jom Cuci Masjid” anjuran Jabatan Operasi Teknikal, Media Prima Berhad, Tahun 2019 yang diadakan di perkarangan Masjid Al Huda, Felda Mata Ayer, Pdg Besar (U) pagi tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Penerbit Teknikal (TV3) Media Prima Berhad Encik Muhammad Hafizal Haji Mohd Ani.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan bahawa program yang dianjurkan pada kali ini amat signifikan dengan bulan Rabiul Awwal yang merupakan kelahiran Baginda Nabi Muhammad Salalllahu ‘Alaihi Wasallam.
Bulan ini mengingatkan kita kepada segala pengorbanan dan jasa-jasa baginda kepada semata-mata untuk menyebarkan risalah.
Untuk rekod, 250 orang penunggang motorsikal berkuasa tinggi (bikers) menjayakan program “Jom Cuci Masjid” Siri ke-36 pada kali ini. Mereka turut mengagihkan kepada asnaf terpilih sumbangan 100 kampit beras 10kg daripada Pertubuhan Kebajikan RichWell dan 100 botol minyak masak 2kg dari Malaysian Community Care Foundation (MCCF).
Terdahulu, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan RM600 kepada setiap seorang di antara 33 orang asnaf terpilih yang disantuni oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf kali ke 69 bagi tahun 2019’ sejauh 10km di sekitar kawasan berkenaan.
Di akhir program baginda turut berkenan menyertai masyarakat setempat menghadiri sesi “Bicara Santai” di Laman Kolam Impian Lestari Sekokah Kebangsaan Felda Mata Ayer yang dikendalikan oleh Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Presiden Sifu Bikerz serta Ustaz Jafri Abu Bakar, Pengerusi Kompleks Islam Far alFaizin (KIDAF) bagi membina hubungan dengan masyarakat setempat di samping memberi refleksi diri di kalangan peserta melalui pengisian rohani.
Tarikh kemaskini: 5/1/2025