ARAU, 20 Sept — Lebih 1,700 tan metrik makanan pelbagai jenis disumbangkan orang ramai kepada program Food Bank Malaysia sejak ia mula diperkenalkan pada Ogos tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 311,189 ahli isi rumah berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara telah memperoleh manfaat daripada program berkenaan.
Program berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi meringankan bebanan keluarga B40 selain menguruskan lebihan makanan yang berlaku di Malaysia dengan matlamat “zero waste” sepertimana dijalankan di lebih 65 negara antaranya Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.
“Susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Feb, 2019, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan program itu yang dikendalikan KPDNHEP ke 20 institusi pengajian tinggi sebagai program Food Bank Siswa.
“UniMAP adalah universiti awam ke-16 menyediakan program Food Bank Siswa kepada pelajarnya dan 150 pelajar dikenal pasti pihak universiti yang bakal peroleh manfaat daripada program ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Food Bank Siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.
Saifuddin berkata selain universiti awam, Food Bank Siswa akan diperkenalkan ke seluruh politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai tahun hadapan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis pelancaran itu. Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Food Bank Siswa diperkenalkan melalui dua kaedah, “Food Pantry” iaitu penyimpanan barangan kering di bilik khas dan siswa yang layak akan menerima agihan makanan mengikut jadual ditetapkan, serta “Central Kitchen” berupa sumbangan makanan yang boleh dimasak seperti sayur-sayuran.
Berdasarkan rekod sehingga Julai 2019, seramai 4,820 pelajar miskin di universiti awam di seluruh negara memperoleh manfaat daripada program berkenaan.
Tarikh kemaskini: 5/1/2025