MAIPs Beri Fokus Dalam Pendidikan Tinggi

Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 24 November 2019 – Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merancang untuk memberikan fokus kepada bidang pendidikan tinggi yang dilihat sebagai mampu menjadi pencetus kepada perubahan holistik bagi status sosial masyarakat di negeri Perlis di masa akan datang.

Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin menjadikan Perlis sebagai sebuah ‘Negeri Bandaraya Menjelang Tahun 2030’ MAIPs telah dan sedang rancak merencana pelbagai inisiatif dan program ke arah mendukung inisiatif berkenaan.

Peruntukan yang dianggarkan sekitar RM250 juta sedang diteliti oleh MAIPs untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan sama ada dalam bentuk fizikal, kurikulum, biasiswa dan lain-lain bagi mempertingkatkan lagi akses ke arah pendidikan tinggi dalam tempoh antara lima hingga tujuh tahun yang akan datang ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM5,000 untuk Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada malam semalam.

Duta Besar Malaysia ke negara berkenaan, TYT Mohd Tarid Sufian menerima sumbangan agihan zakat MAIPs tersebut daripada baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di UAE yang beralamat di Unit 19B, Level 19, Tamouh Tower, 12, Marina Square, Reem Island – Abu Dhabi.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tambah Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs lagi, jumlah besar yang bakal diperuntukkan oleh MAIPs untuk tujuan tersebut telah bermula sejak dari penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada tahun 2013, sehinggalah penawaran program biasiswa akademik di bawah Program Kursi Jamalullail di Universiti Islam Malaysia (UIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjadikan MAIPs dilihat serius dalam usaha mewujudkan insan yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, Insyaallah.

MAIPs turut memperkenalkan Akademi Tranformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang turut menawarkan pendidikan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan termasuklah pendidikan dalam bidang kritikal seperti program profesional akauntan dan industri kreatif kepada golongan asnaf yang berminat di negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra kini berada di negara Teluk berkenaan bagi mengetuai delegasi ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)’ selama empat hari bermula semalam.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content