Padang Besar, 1 Nov. 2019 – Pendidik memang tiada tolok tanding jasa baktinya dalam mencurah ilmu. Penat lelah mereka dalam menyampaikan ilmu bukanlah sekadar untuk melahirkan seorang manusia yang mampu memegang segulung ijazah, bahkan lebih dari itu, mereka dengan sepenuh hati berusaha sedaya upaya mencorakkan minda dan jati diri anak bangsa agar menjadi insan berguna serta aspirasi negara kelak.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke 68 bagi tahun 2019’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAiPs) yang bermula dan berakhir di perkarangan Musolla Khairi di Kampung Bilal Udoh, Jalan Kubang Tiga, Bukit Keteri, Padang Besar.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Kayuhan pada kali ini disertai sama oleh 19 orang para pensyarah dari Universitas Muhammadiyah Surakarta Indonesia yang sedang menghadiri ‘Bengkel Penulisan Artikel Ilmiah Antarabangsa’ di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selama beberapa hari.
Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Bahagian Pengembangan Publikasi Ilmiah yang juga merangkap Sekretaris Rektor Bidang Riset dan Publikasi universiti berkenaan yang terletak di Kalimantan Timur iaitu Prof. Madya Dr. Waluyo Adi Siswanto.
Turut serta ialah Ahli Lembaga Pengarah UCMM Konsortium Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat di Bawah Pimpinan Pusat Muhammadiyyah, Datuk Prof. Dr. Mohd Noh Dalimin.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa dunia yang mencabar kini, banyak mempamerkan gaya hidup yang tidak sihat datang daripada aplikasi ilmu yang salah.
Penglibatan dalam aktiviti jenayah seperti penipuan siber, pembudayaan penyebaran maklumat palsu dan sebagainya kadangkala didokongi oleh golongan cerdik pandai sendiri.
Sesungguhnya, diharap tidak ada dalam kalangan kita yang mempunyai minda dan jiwa seperti ini yang bukan sahaja mencacatkan keunggulan institusi pendidikan bahkan bakal merosakkan jati diri anak bangsa.
Bersempena program pada kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan Projek Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs berupa perniagaan gerai makan yang diusahakan oleh Che Ros Yakob, 46 Tahun (No Tel: 0175663653) beralamat di No 13, Lorong 3 RPA Chuping yang telah menerima sumbangan MAIPs sebanyak RM6,110 melalui Bantuan Modal Pusingan RM3,000 dan Bantuan Peralatan (Chiller dan Mesin Ais Kacang) RM3,110.
Di akhir program, turut diadakan ialah majlis perpisahan dua orang ketua jabatan yang akan bertukar keluar dari Perlis bermula 1 November ini iaitu Pengarah MARDI Negeri, Dr Fadhilnor Abdullah dan Pengurus Unit Perkhidmatan E-Idaman Perlis, Mohd Noor Affendy Mat Arop.
Tarikh kemaskini: 5/1/2025