Frankfurt Am Main, Jerman 16 Oktober 2019 – Persaudaraan Islam disifatkan sebagai merentasi sempadan dan budaya serta tidak terhad dan eksklusif kepada sesuatu bangsa.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Pusat Informasi Islam (IIS) Frankfurt Am Main di negara Jerman pada malam semalam.
Titah baginda lagi, umat Islam yang berada dalam keadaan minoriti turut mempunyai kekuatan dengan sikap saling sokong-menyokong dan lengkap-melengkapi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Pusat Informasi Islam berkenaan, Dr Mohammed Naved Johari bersama kepimpinan masjid dan juga masyarakat umat tempatan.
Mohammed Naved turut menerima bagi pihak pusat itu sedikit sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pengurusan aktiviti dakwah yang diserahkan oleh baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
Tuanku Syed Faizuddin Puta Jamalullail yang berangkat tiba di Frankfurt Am Main pada sebelah petang yang sama untuk menghadiri beberapa program padat anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2019 turut mengambil kesempatan melawat perpustakaan dan kedai buku milik IIS yang terletak dalam sebuah deret kedai berdekatan. IIS juga berperanan sebagai salah sebuah masjid yang amat aktif dengan pelbagai aktiviti dakwah dan kemasyarakatannya.
Tuanku Raja Muda diiringi bersama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.
Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan.
Baginda beserta delegasi turut menunaikan solat maghrib secara berjamaah dengan sekalian anak jamaah yang hadir dan seterusnya meluangkan masa beramah mesra dengan mereka selepas itu.
Tarikh kemaskini: 5/1/2025