Raja Muda Perlis Dalam Rangka Lawatan Ke UAE

KANGAR, 26 Nov 2019 (Selasa) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini melawat kilang kenderaan perisai Streit Group FZE serta Zon Industri Minyak Fujairah sempena kunjungannya mengetuai delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berangkat sama mengiringi Raja Muda yang juga Tuanku Canselor UniMAP ialah anakanda baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut serta Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R. Badlishah Ahmad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti, Prof Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa universiti, Dr Salsuwanda Selamat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UniMAP di sini hari ini, ketibaan baginda dan delegasi di Streit Group FZE di Taman Teknologi, Zon Perdagangan Bebas, Ras Al Khaimah disambut oleh Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Sarah Evans dan David Kaufman serta Pengurus Projek, Liam Carvill.

Raja Muda dalam lawatan itu bertitah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP sedang membangunkan satu sistem pangkalan data Industri UniMAP (iBase) sebagai platform mengumpulkan data kerjasama universiti berkenaan dengan industri dalam aspek kebolehpasaran graduan, kolaborasi dan latihan industri.

“Oleh itu, UniMAP juga akan dapat memastikan pihak industri akan terus memberi kepercayaan kepada universiti untuk membantu memacu perkembangan industri serta menepati kehendak industri dengan situasi ‘menang-menang’ menerusi jalinan kolaborasi ini,” titah baginda.

Semasa melawat Zon Industri Minyak di Fujairah, rombongan Raja Muda disambut oleh Pengarahnya, Kapten Salem Al Afkham Al Hamoudi serta Pengarah Urusan Jabatan Industri dan Ekonomi Fujairah, Mohammed O. Bin Majed Al Aleeli.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia di UAE, Cheah Kean Choong.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content