KIGALI, RWANDA, 24 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menzahirkan penghargaan terhadap semangat rakyat Rwanda yang berjaya menjadikan sejarah silam yang perit sebagai pencetus kebangkitan membina, serta model pembangunan masyarakat yang wajar dicontohi.
Titah Baginda itu dizahirkan dalam satu majlis di Kigali ketika menerima mengadap usahawan terkemuka Rwanda, Sadate David Munyakazi, Pengarah Urusan syarikat kejuruteraan dan pembinaan Karame yang diasaskan pada tahun 2006.
Berkenan berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir, Syarafina Adilah Ahmad Nasir, Setiausaha Kedua, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Kenya.
Sadate: Bangsa Maju Lahir Dari Jiwa yang Kental
Dalam pertemuan tersebut, Sadate, seorang mualaf yang kini menjadi tokoh masyarakat berpengaruh di Rwanda, berkongsi pandangan bahawa:
“Kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui infrastruktur fizikal, tetapi melalui kekuatan sahsiah rakyat – yang berdisiplin, saling menghormati dan tidak terikat kepada trauma sejarah.”
Beliau menegaskan kepentingan membina semula negara pasca-konflik melalui pendidikan nilai, etika sosial dan pendekatan inklusif yang merangkul seluruh lapisan rakyat.
Perbincangan Mengenai Islam dan Keharmonian Antara Agama
Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh Mufti Rwanda, Sheikh Mussa Sindayigaya, dan penasihat beliau, Sheikh Sulaiman Mbarushimana, yang bersama-sama membincangkan perkembangan komuniti Islam di Rwanda yang terkenal dengan kerukunan antara agama.
Raja Muda Perlis menyifatkan pendekatan Rwanda dalam memelihara keharmonian sosial sebagai contoh pemerintahan bijaksana yang menanam benih perpaduan nasional, tanpa mengabaikan nilai agama dan kemanusiaan.
“Daripada keperitan boleh bangkit kekuatan, dan daripada luka boleh tumbuh harapan baharu,” titah Baginda.
Simbol Perpaduan Dua Budaya
Majlis yang mempertemukan tokoh dari dua benua ini bukan sekadar acara diplomatik, tetapi menjadi lambang perpaduan sejagat, memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Rwanda dalam bidang sosial, pendidikan nilai dan pembangunan insan.
Baginda turut menzahirkan kekaguman terhadap kejayaan Rwanda muncul sebagai antara negara paling bersih, selamat dan tersusun di Afrika, hasil perpaduan erat antara rakyat dan kerajaan yang berpandangan jauh.