Sedia Hadapi Gelombang Ancaman Kesihatan Baharu – Raja Muda Perlis

KUCHING: Malaysia perlu menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada sebagai persediaan menghadapi krisis dan gelombang ancaman baharu termasuk krisis kesihatan pada masa depan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ini termasuk memberi tumpuan kepada penularan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dijangka melanda negara secara berpanjangan berbanding pandemik Covid-19.

“Jika petugas warga kesihatan tidak bersedia secukupnya untuk menghadapi NCD ini, ia mungkin memberi kesan lebih besar terhadap sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan turut mampu meruntuhkan sektor kesihatan yang kita sedang bina ini.

“Justeru, sektor kesihatan Malaysia secara keseluruhannya mesti sentiasa berinovasi dan mengamalkan amalan terbaik bagi menjadikan sistem penjagaan kesihatan kita lebih ke hadapan, berdaya tahan dan cekap,” titah baginda ketika merasmikan seminar Sarawak Le Tour De Borneo–From Perlis To East Malaysia 2022 anjuran Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut Serta Ultrasound Malaysia (MAAIMUSS) Perlis di Auditorium Clinical Research Centre (CRC) Hospital Umum Sarawak, di sini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Prof. Dr. Paras Doshi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Penaung MAAIMUSS mengingatkan supaya sama-sama bersiap sedia untuk belajar dan mengambil pedoman daripada negara dan tempat lain bagi menyesuaikan amalan positif yang diamalkan bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan tempatan di negara ini sentiasa ke hadapan serta tidak ketinggalan, yang mana Perubatan Dalaman Maju dan Akut adalah satu contoh baik bagi pengamalan yang perlu diterapkan.

Baginda juga berharap MAAIMUSS terus menerajui kaedah penggunaan Bedside Point of Care Ultrasound oleh doktor di seluruh negara.

“Inisiatif ini seharusnya diperluas ke sektor kesihatan negeri-negeri lain juga, yang mana keperluan dan manfaat program sebegini mampu memberikan kesan besar.

“Kerjasama erat antara semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan inisiatif kolaboratif seperti ini yang menggalakkan perkongsian dan pembelajaran dari negeri ke negeri. Dengan cara ini, setiap sektor kesihatan di negeri-negeri lain juga akan mendapat manfaat daripada kemahiran masing-masing dalam bersinergi bersama,” katanya.

MAAIMUS, Perlis serta Sarawak telah mengambil inisiatif dan langkah awal dalam menjayakan program ini.

Justeru, baginda menyeru kepada semua pihak dalam institusi kesihatan supaya terus memberi sokongan yang tinggi bagi memastikan impak program sebegini terus membawa manfaat kepada negara.

Terdahulu, Dr. Paras memaklumkan bahawa matlamat utama yang perlu dicapai adalah bagi memastikan agar setiap doktor akan mempelajari kaedah mengimbasi pesakit secara terus dan dapat menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukannya semasa menghadapi sebarang krisis atau pandemik kesihatan kelak.

Katanya, sokongan semua pihak sangat diperlukan bagi memastikan kesinambungan matlamat yang ingin dicapai dapat direalisasikan dengan baik.

Selepas ditubuhkan di Kangar, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini menjadi contoh model bagi kejayaan pelaksanaan bidang yang baharu ini. Ia telah terbukti dapat mengurangkan beban Hospital Tuanku Fauziah termasuk menjimatkan kos yang lebih efektif.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content