Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 26 November 2019- Kesediaan pihak industri dan pelbagai pihak menyumbang anugerah dan hadiah khas bersempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke 14 baru-baru ini secara tidak langsung mendukung hasrat universiti dalam meningkatkan lagi penyertaannya dalam endowmen, tajaan, derma dan sumbangan pendidikan.
UniMAP amat menghargai kerjasama semua pihak yang komited memberi sokongan terhadap usaha berterusan universiti bagi meningkatkan lagi kualiti akademik mahasiswa melalui sumbangan insentif seperti ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP selepas berkenan berangkat mengetuai delegasi lawatan ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)’ di Fujairah Oil Industry Zone, Fujairah, UAE kelmarin.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarahnya Kapten Salem Al Afkham Al Hamoudi serta Pengarah Urusan Jabatan Industri dan Ekonomi Fujairah, Mohammed O. Bin Majed Al Aleeli. Turut hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad dan Pengerus Malaysian Business Council di sana, Cheah Kean Choong.
Menurut Badlishah pula, sejak 14 tahun Istiadat Konvokesyen yang pertama pada 2006, UniMAP telah melahirkan lebih 26,000 siswazah dalam pelbagai lapangan pengajian sama ada di peringkat prasiswazah mahupun pasca siswazah.
Bagi Istiadat baru-baru ini, seramai 3,647 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam 8 sidang. Daripada jumlah itu, seramai 114 merupakan graduan Doktor Falsafah, 149 graduan Sarjana, 2,972 Ijazah Sarjana Muda manakala seramai 412 pelajar dari Pengajian Diploma.
Tambah beliau, antara para penaja industri budiman yang telah turut serta menyumbangkan anugerah-anugerah khas utama bersempena istiadat konvokesyen pada kali ini ialah Kumpulan Media Karangkraf, iLab, Nihon Superior, Inari Amertron Berhad, ACM, Smart Modular Tecnologies, Maxta Trading, MaxES, Flex, SKMM, Kobe Precision Tech, RBM Engineering Consultant, Infineon, Tekmark, Teralogic Solutions, Emerald Systems, Straits Orthopaedics, Webcure, Top Glove, Yamatake Engineering, SBJ Technologies, Cenfotec, Estek Automation, Silterra, Antella, Lumileds, UniMAP Holdings dan PPK Bahan UniMAP.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025