Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 24 November 2019 – UniMAP berjaya lahirkan seramai 1,600 orang siswazah peringkat pascasiswazah semenjak 14 tahun lalu.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke 14 baru-baru ini, sebanyak 8 sidang diistiadatkan bagi menyampaikan ijazah kepada 3,647 orang siswazah, termasuk 158 siswazah antarabangsa.
Dalam sidang pertama sahaja, selain penerima Ijazah Kehormat, UniMAP turut menganugerahkan 4 Anugerah Khas iaitu, Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah.
Turut diberi penghormatan, ialah 114 orang siswazah Ijazah Doktor Falsafah dan 149 orang siswazah Ijazah Sarjana yang menerima skrol masing-masing. Jumlah penerima pascasiswazah di UniMAP telah meningkat berbanding tahun lalu iaitu 261 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana menjadikan keseluruhan siswazah peringkat pascasiswazah yang dilahirkan semenjak Istiadat Konvokesyen Kali Pertama, seramai 1,600 orang.
Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP selepas berkenan berangkat mengetuai delegasi lawatan ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)’ mengadakan lawatan ke Masjid Agung Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada petang semalam.
Menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Menteri Penasihat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi, Anis Wajidi Mohd Yusof serta para pegawai kanan masjid.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti, Prof Mohd Fo’ad Sakdan dan Timbalan Yang DiPertua MPP UniMAP Sesi 2018/9, Nazifa Nordin yang juga merangkap Presiden Festival Konvokesyen (Festkon) UniMAP ke 14 yang baru sahaja dilangsungkan baru-baru ini.
Badlishah pula mengingatkan kepada semua para graduan baru UniMAP bahawa ‘masa’ itu jauh lebih mahal daripada emas. Nilainya tiada tolok banding, maka isilah masa yang terluang dengan perkara yang bermanfaat sahaja.
Beliau turut merujuk kepada ahli polemik dan aktivis politik terkenal dunia, George Bernard Shaw yang pernah berkata; “Kita menjadi bijak bukan oleh ingatan masa lalu kita, tetapi dengan tanggungjawab untuk masa depan kita”. Falsafah ini mendidik kita untuk memanfaatkan masa yang ada dengan membina laluan masa depan yang terang dan gemilang. Ungkapan lain yang acap kali kita dengar ialah, “Barang siapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya”. Semangat ungkapan inilah yang perlu kita hadam demi melahirkan generasi muda yang berilmu dan beriltizam demi kemajuan diri, bangsa, tanah air dan agama.
Oleh itu, beliau berharap agar para siswazah UniMAP akan lebih proaktif dan bijak mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti yang berkualiti.
Bersempena dengan kunjungan ke masjid terbesar dan termegah di Abu Dhabi yang mempunyai seni bina serba indah berkenaan, baginda Tuanku beserta delegasi turut menunaikan solat maghrib secara berjamaah.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025