MEDAN, 15 Sept — Seramai 21 guru di bawah Professional Learning Community (PLC) Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) berjaya menghasilkan kajian tindakan tahun ini, dengan keseluruhan geran RM63,000 diperuntukkan bagi menggalakkan penyelesaian masalah pembelajaran berasaskan situasi sebenar di sekolah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap guru terbabit menerima Geran Kajian Tindakan sebanyak RM3,000 sebagai sebahagian usaha FCoEE memperkasa kompetensi pendidik dan meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).
Baginda bertitah, menerusi PLC, guru didedahkan kepada latihan pedagogi berimpak tinggi termasuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Higher Order Thinking Skills (HOTS), Lesson Study, Problem-Based Learning (PBL), Challenge-Based Learning (CBL) dan Video Kritik.
Pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kompetensi guru, malah membentuk budaya kolaborasi, refleksi serta perkongsian amalan terbaik dalam kalangan pendidik bagi memastikan murid mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Lebih membanggakan, hasil penyelidikan PLC telah berjaya menembusi pentas antarabangsa apabila kajian berkaitan PLC dibentangkan di ICOHOPE 2025 di Medan, WALS International Conference 2025 di Hiroshima, Jepun serta International Action Research and Lesson Study Conference 2026 di Kazakhstan. SumberPendidikan
“Dua hasil kajian turut berjaya diterbitkan dalam jurnal yang diindeks MyCite pada 31 Disember 2025, membuktikan amalan guru di sekolah mampu berkembang menjadi penyelidikan dan ilmu yang diiktiraf di peringkat lebih luas,” titah baginda.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, kekuatan PLC FCoEE terletak pada pendekatan “daripada amalan kepada penyelidikan”, apabila guru bukan sekadar berkongsi kaedah PdPc, tetapi dibimbing mengenal pasti masalah sebenar murid, melaksanakan intervensi, membuat refleksi dan seterusnya menghasilkan kajian tindakan.
Hasil kajian 21 guru terbabit akan dibentangkan pada peringkat kebangsaan serta didokumentasikan dalam buku prosiding ber-ISBN bagi memperkukuh penyebaran dan pengiktirafan penyelidikan berasaskan amalan sebenar guru.
Baginda menegaskan pelaburan dalam pembangunan guru akhirnya memberi kesan langsung terhadap masa depan murid, terutama golongan B40 dan mereka yang berada di kawasan luar bandar.
“Pelaburan terhadap guru ialah pelaburan terhadap masa depan murid. Dengan meningkatkan kompetensi guru, FCoEE membantu memperkukuh kualiti PdPc, mengembangkan kemahiran abad ke-21 serta membuka peluang pendidikan yang lebih baik, khususnya kepada murid B40 dan luar bandar.
“Secara tidak langsung, PLC menjadi instrumen mobiliti sosial dan usaha memutuskan rantaian kemiskinan antara generasi. Daripada guru yang diperkasa, lahir murid yang lebih berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan meluangkan masa mengadakan lawatan ke Stadium Teladan di Medan, Sumatera Utara.
Baginda diiringi Konsul, Muhammad Amir Azam Mohd Hafiz dari Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.
Stadium Teladan kini menjalani pengubahsuaian besar-besaran bagi meningkatkan kemudahannya ke piawaian antarabangsa, termasuk peningkatan kapasiti kepada kira-kira 20,000 penonton dengan penggunaan kerusi tunggal.
Antara penambahbaikan lain ialah penggunaan rumput gred tinggi dan sistem saliran premium, pemasangan struktur bumbung membran Ethylene Tetrafluoroethylene (ETFE) di Tribun Barat serta naik taraf bilik persalinan pemain, ruang media dan sistem lampu limpah.
Stadium berkenaan turut menjadi antara venue Kejohanan Remaja Bawah 19 Tahun ASEAN 2026 yang berlangsung pada Jun lalu.
Transformasi Stadium Teladan dijangka meningkatkan keupayaan Medan menganjurkan pertandingan bola sepak dan acara sukan berskala lebih besar pada masa depan.