Ilmu, Nilai, Disiplin dan Integriti Asas Pembangunan Insaniah

Ilmu, Nilai, Disiplin dan Integriti Asas Pembangunan Insaniah

Bukit Keteri – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa ilmu, nilai, disiplin dan integriti merupakan asas penting bagi membentuk insan yang berilmu, berprinsip serta mampu menyerlahkan potensi diri.

Baginda bertitah, gabungan elemen berkenaan bukan sahaja membentuk individu yang mampu mencapai kejayaan, malah melahirkan insan berprinsip, yakin pada diri, serta berkeupayaan memberikan manfaat kepada keluarga, sekolah, masyarakat dan negara.

“Setiap pelajar mempunyai ruang untuk berkembang dan menjadi lebih baik. [Perjalanan] yang dilalui sebelum ini merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang membentuk diri kita.

“Jadikan setiap pengalaman sebagai panduan, bina keyakinan daripada setiap cabaran dan terus melangkah dengan membuat pilihan yang lebih baik,” titah Baginda.

Baginda turut menitahkan agar para pelajar tidak takut untuk memulakan semula sekiranya pernah melakukan kesilapan atau berdepan kegagalan kerana setiap usaha yang dilakukan dengan kesungguhan mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan.

“Jangan takut untuk bermula semula, kerana setiap langkah kecil yang dilakukan dengan kesungguhan mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kem Jati Diri Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis Tahun 2026 di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri baru-baru ini.

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Tuan Haji Ishak Awang dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, YBhg. Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi.

Program berimpak tinggi anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama strategik Rejimen 504 Askar Wataniah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu menghimpunkan sebanyak 95 orang pelajar terpilih daripada sekolah menengah di seluruh negeri ini.

Berlangsung selama tiga hari bermula pada 8 hingga 10 September 2026, kem berkenaan memberikan penekanan kepada pembentukan disiplin, latihan fizikal dan mental secara intensif bagi memperkukuh jati diri, membina daya tahan serta menyemai nilai integriti dalam kalangan peserta.

Pendekatan yang diterapkan turut memberikan ruang kepada para pelajar untuk mengenali kekuatan diri, membina keyakinan, meningkatkan keupayaan bekerjasama serta membentuk sikap lebih bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran.

Sempena majlis itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada peserta terbaik keseluruhan, iaitu Muhammad Aqeef Fathullah Mohd Faiz daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, selain menyempurnakan pengurniaan sijil penyertaan kepada 50 orang pelajar lelaki.

Sementara itu, pengurniaan sijil penyertaan kepada 45 pelajar perempuan disempurnakan oleh DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Kem ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada para peserta untuk membawa nilai disiplin, ketahanan diri dan integriti yang dipelajari sepanjang program ke dalam kehidupan seharian, seterusnya menjadi generasi muda yang lebih yakin, berprinsip dan bersedia menyumbang kepada kemajuan negeri serta negara.

Pada majlis yang sama turut diadakan simbolik penyerahan CSR sebanyak 100 pasang kasut sukan berjenama A7 yang disumbangkan oleh syarikat Al-Ikhsan Sports kepada pihak YTSP Perlis untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan melaluli pelbagai program Tuanku Raja Muda Perlis.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.