Dari Penjara Ke Bengkel, Fazli Mahu Bina Hidup Baharu

Dari Penjara Ke Bengkel, Fazli Mahu Bina Hidup Baharu

ARAU, 27 Ogos: Selepas pintu penjara terbuka nanti, Fazli sudah tahu ke mana mahu dituju.
Bukan kembali kepada kehidupan lama yang pernah membawanya ke sebalik tembok penjara, sebaliknya lelaki berusia 44 tahun itu mahu membuka sebuah bengkel kecil atau bergerak dari satu tempat ke satu tempat menawarkan perkhidmatan membaiki motosikal.

Impian itu mungkin kelihatan sederhana, tetapi bagi Fazli, bukan nama sebenar, ia membawa makna besar — peluang untuk berdiri semula dan membina kehidupan baharu selepas menjalani hukuman atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Harapan tersebut mula terbentuk selepas dia terpilih mengikuti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Re-Drive: Memperkasa Prospek dengan Kemahiran Automotif Alaf Baharu.

Program itu memberinya pengetahuan mengenai pelbagai komponen motosikal, termasuk bagaimana mengesan kerosakan serta menentukan sama ada sesebuah motosikal masih selamat digunakan.

“Saya bercadang membuka bengkel kecil-kecilan atau menyediakan perkhidmatan automotif secara bergerak selepas dibebaskan nanti.

“Program ini memang dapat membantu prospek seperti kami dan saya berterima kasih kepada Jabatan Penjara serta semua pihak yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.

Fazli merupakan antara prospek yang dilepaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Seperti Fazli, Hafiz, 30, juga bukan nama sebenar, melihat kemahiran yang diperolehnya sebagai bekalan untuk memulakan kehidupan selepas bebas.

Sebelum ini dia hanya memiliki sedikit pengetahuan automotif yang dipelajari secara tidak formal, tetapi Re-Drive memberinya peluang mendalami bidang itu secara lebih profesional.

IndustriAutomotif

“Saya berasa beruntung sebab diberikan peluang macam ini dan saya harap dapat memanfaatkan kemahiran ini selepas saya bebas nanti,” katanya.

Peluang kedua bukan sekadar slogan Fazli dan Hafiz adalah antara 20 prospek Pusat Koreksional Perlis yang mengikuti Re-Drive, merangkumi latihan asas penyelenggaraan dan diagnostik motosikal, penukaran serta penjajaran tayar selain asas mengecat.

Apa yang membezakan program itu ialah peserta bukan sahaja menjalani latihan teori dan amali di universiti, malah berpeluang mendapatkan pekerjaan daripada syarikat dalam industri automotif selepas menamatkan latihan.

Program berimpak tinggi yang bermula sejak tahun lalu itu tercetus daripada idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mencadangkan kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Hafidz Othman berkata, kerjasama berkenaan menyatukan dunia akademik dengan usaha pemulihan koreksional bagi membuka masa depan lebih cerah kepada golongan prospek.

“Program ini bukan sahaja memberikan peluang kedua, malah juga membekalkan latihan kemahiran teknikal yang tinggi dan relevan dengan industri automotif moden alaf baharu,” katanya.
Teks ucapan Hafidz yang menjalankan tugas Komisioner Jeneral Penjara dibacakan Pengarah Bahagian Korektif, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Nora Musa pada majlis penutup program berkenaan di Pusat Koreksional Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan majlis penutup itu.
Hafidz berkata, peluang pekerjaan selepas latihan menjadi antara komponen penting program berkenaan kerana prospek memerlukan sumber pendapatan untuk berdikari dan kembali menjalani kehidupan bersama masyarakat.

“Sokongan dan peluang yang diberikan ini penting bagi membantu mereka berdikari, membina hidup baharu yang stabil serta berintegrasi semula dalam masyarakat dengan penuh maruah,” katanya.
Program itu akan diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai prospek memperoleh kemahiran yang boleh digunakan selepas menjalani hukuman.
Bagi Fazli, hari kebebasan kelak bukan sekadar meninggalkan tembok penjara.
Di luar sana ada sebuah impian yang sedang menunggunya — sebuah bengkel kecil, peralatan membaiki motosikal dan peluang untuk memulakan semuanya sekali lagi.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Bayar

Mohon

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.